Polis lumpuh kasino haram di Api-Api

0

KOTA KINABALU: Polis berjaya melumpuhkan kegiatan kasino haram di sebuah premis tidak bernombor di kawasan Api-Api dan merampas 38 set komputer berunsur perjudian dalam satu serbuan baru-baru ini.

Turut dirampas wang tunai RM1,228 dan dua lelaki tempatan ditahan yang dipercayai bertugas sebagai penjaga kasino haram berkenaan.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata dalam serbuan berlaku 10 Oktober lepas itu, sepasukan anggota telah menerima maklumat bahawa terdapat kegiatan judi siber di lokasi terbabit.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis terbabit, polis berjaya merampas sebanyak 38 set komputer yang dipercayai berunsur perjudian.

“Dua lelaki berusia 26 tahun turut ditangkap sementara wang tunai RM1,228 juga kita berjaya rampas dalam serbuan itu,” katanya.

Kesemua tangkapan dan rampasan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.