Tindakan tegas jika jual durian tepi jalan: MPS

0

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan mengambil tindakan tegas terhadap penjual durian yang menjalankan perniagaan mereka di tepi-tepi jalan, termasuk merampas hasil jualan yang dijual.

Pengerusi Jawatankuasa Pasar dan Penjaja Kecil MPS, Chieng Buong Toon mengingatkan penjual durian bahawa kegiatan menjual buah-buahan di tepi jalan adalah salah kerana boleh mengganggu lalu lintas dan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

“Menjalankan aktiviti perniagaan di tepi-tepi jalan adalah dilarang kerana ini boleh menyumbang kepada kesesakan lalu lintas dan mewujudkan bahaya kepada peniaga terbabit dan juga pengguna jalan raya.

“Bagi yang ingin menjual buah-buahan termasuk durian, pihak majlis telah menyediakan tempat khas di Pasar Sentral berhampiran pasar tamu,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Menurut Chieng lagi, terdapat lapan gerai disediakan bagi menjual buah durian disediakan di situ, selain gerai-gerai lain bagi menjual pelbagai buahan bermusin seperti dabai dan rambutan.

“Tempat ini juga lebih sesuai serta menjadi tumpuan ramai. Tempat letak kereta juga mencukupi memudahkan orang ramai untuk datang berkunjung,” jelas beliau.

Chieng juga mengingatkan peniaga buah-buahan yang ada agar sentiasa menjaga kebersihan gerai pada setiap masa.

“Selepas tamat menjalankan perniagaan, peniaga perlu memastikan sampah sarap mereka dibuang di dalam tong sampah yang telah disediakan,” tambahnya.