Jangan jual tanah pemberian k’jaan: Khaled

0

Penduduk setinggan dinasihat tidak terpengaruh dengan tawaran harga yang tinggi

PASIR GUDANG: Penduduk kampung setinggan yang diberi geran tanah oleh kerajaan dinasihati agar tidak menjual tanah yang mereka peroleh walaupun ditawarkan harga yang tinggi.

Anggota Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan memberikan tanah itu bagi kesenangan dan keselesaan golongan tersebut.

“Saya berharap penduduk memanfaatkan pemberian tersebut dengan sebaik-baiknya. Bina rumah yang selesa untuk seisi keluarga, tetapi jangan sesekali menjualnya,” katanya.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Notis 5A kepada penduduk Kampung Masai Baru, Masai, di sini semalam.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk M. Munusamy dan ADUN Johor Jaya, Tan Cher Puk.

Mohamed Khalid berkata, kerajaan negeri akan terus membantu penduduk setinggan di 10 perkampungan dalam negeri ini untuk mendapatkan hak milik ke atas tanah yang mereka telah diami sekian lama.

Menurut beliau, setakat ini borang permohonan atau Notis 5A telah dikeluarkan kepada penduduk di Kampung Pasir Gudang Baru, Kampung Melayu Makmur dan yang terbaru, Kampung Masai Baru.

“Selepas ini, penduduk Kampung Melayu Pandan pula yang akan mendapat peluang itu namun pemberian geran di kawasan itu agak mencabar kerana sebahagian besar tanah bukan milik penuh kerajaan.

“Bagaimanapun, kerajaan mempunyai pilihan untuk mengatasi isu berkenaan dengan menawarkan rumah yang di bawah projek kerajaan negeri yang berharga lebih RM200,000 hanya pada harga RM25,000 kepada penduduk terbabit,” jelasnya.

Mohamed Khalid berkata tawaran rumah itu sangat berbaloi apatah lagi pembayaran nilai tersebut boleh dibuat secara ansuran bergantung pada jumlah pendapatan penduduk.

Beliau berkata jika penduduk tidak setuju dengan pilihan itu, mereka boleh memilih untuk memohon tanah yang prosesnya menunggu lebih lama kerana ia melibatkan banyak prosedur. — Bernama