Siasatan insiden lima pelajar dihalang duduki PMR siap: Fatimah

0

KUCHING: Penyiasatan berhubung insiden lima pelajar yang mendakwa dihalang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di sebuah sekolah di bandar raya ini yang dijalankan Lembaga Peperiksaan Negeri Sarawak sudah siap sepenuhnya.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, laporan siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, berdasarkan laporan tersebut lima pelajar berkenaan dipercayai kerap ponteng sekolah dan mereka bukannya dihalang untuk menduduki peperiksaan tetapi pelajar itu sendiri yang enggan berbuat demikian.

“Pada hari pertama peperiksaan tiada masalah berlaku namun ia hanya berlaku pada hari kedua peperiksaan selepas salah seorang daripada pelajar membuat laporan mendakwa diha-lang menduduki peperiksaan.

“Sebenarnya mereka tidak dihalang daripada menduduki peperiksaan kerana pelajar yang membuat laporan ada menduduki peperiksaan pada sebelah pagi namun tidak hadir pada sebelah petang.

“Apabila ayah dan ibunya bertanya sebab tidak menduduki peperiksaan, dia mendakwa guru yang menghalangnya,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Raya Korban di Surau Taman Desa Guru semalam.

Fatimah berkata, Kementerian Pelajaran tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menghalang pelajar daripada menduduki peperiksaan.

Dalam pada itu, Fatimah berkata sistem kehadiran boleh diperkenalkan kerajaan untuk pelajar menduduki peperiksaan kerana ia penting bagi meng-elak pelajar kerap ponteng.

“Mungkin kerajaan boleh memperkenalkan sistem ini untuk pelajar sekolah. Usaha ini penting agar pelajar tidak ponteng.

“Ia seperti yang dilakukan di institusi pengajian tinggi (IPT) yang mana pelajar yang tidak mencapai kehadiran 70 peratus tidak dibenarkan menduduki peperiksaan,” ujarnya.

Mengulas mengenai ibadah korban yang dijalankan di Taman Desa Guru, beliau menjelas-kan bahawa sebanyak 16 ekor lembu dikorbankan pada tahun ini untuk diagihkan kepada pelajar miskin sekitar Kuching.

“Ini merupakan acara tahunan. Pada kali ini seramai 700 pelajar miskin akan mendapat manfaat daripadanya,” jelasnya.