Ruang disediakan untuk peniaga buah-buahan

0

Ruang kosong berhampiran pasar tamu di Pasar Sentral Sibu kini ditukar menjadi tempat menjual buah-buahan

SIBU: Ruang kosong berhampiran pasar tamu di Pasar Sentral Sibu telah ditukar menjadi tempat menjual buah-buahan pada musim buah-buahan ketika ini bagi para peniaga dari dalam dan luar Sibu.

Terdapat kanopi yang telah disediakan oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) untuk para peniaga di situ tetapi ia masih tidak mencukupi, kata Kaunselor Tengku Gruna.

“Saya telah menerima maklum balas daripada para peniaga dari Kapit, Song dan Kanowit bahawa mereka terpaksa berebut tempat dengan peniaga tempatan yang didakwa mahu memonopoli perniagaan di situ dan mengatakan tempat tersebut hanya diperuntukkan kepada mereka sahaja.

“Oleh itu, saya ingin mencadangkan kepada pihak MPS untuk meletakkan kanopi tambahan untuk para perniaga dari Kapit, Song dan Kanowit,” katanya semasa Mesyuarat Bulanan MPS yang berlangsung di Tingkat 24, Wisma Sanyan di sini, semalam.

Mesyuarat bulanan itu telah dipengerusikan oleh Pengerusi MPS merangkap Ahli Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi MPS Daniel Ngieng, Setiausaha MPS Hii Chang Kee serta ahli-ahli majlis yang lain.

Bagi menyahut cadangan Tengku itu, Pengerusi Jawatankuasa Penjaja dan Peniaga Kecil MPS Kaunselor Chieng Buong Toon berkata, pihak jawatankuasanya akan me-ningkatkan bilangan kanopi jika ada permintaan.

Mengenai perkara lain, Kaunselor Abang Iskandar Abang Latip berpendapat bahawa cadangan untuk menamakan semula atau menukar nama baharu Jalan Lapangan Terbang Lama di sini adalah tidak wajar.

Beliau berkata, ini kerana jalan tersebut memang sudah lama sinonim serta bersejarah bagi masyarakat di sini.

“Jika kita boleh lihat terdapat beberapa projek kerajaan dilaksanakan di tempat itu. Terdapat stadium, kolej, kolej universiti dan sekolah-sekolah.

“Jalan tersebut adalah satu tempat yang terkenal dan sememangnya bersejarah serta telah lama dikenali,” katanya sambil mencadangkan agar MPS mengkaji semula cada-ngan itu sebelum mereka me-nukar nama jalan terbabit.

Kaunselor So Teck Kee sebelum ini telah mengutara-kan pertanyaan mengapa pihak majlis mengambil masa yang lama untuk mempertimbangkan sesuatu cadangan khususnya menukar nama baharu jalan terbabit.

Dalam jawapan beliau, Tiong berpendapat penamaan semula atau menukar nama baharu bagi sesuatu jalan akan menjejaskan alamat mereka yang tinggal di kawasan itu.

“Bagaimanapun, kita meletakkan cadangan tersebut di bawah ‘Keep In View’ (KIV),” tambah beliau.