Pesta Sematan 2012 pada 2 hingga 4 November dijangka lebih meriah

0

KUCHING: Pesta Sematan 2012 pada 2 hingga 4 November dijangka lebih meriah dengan sasaran pengunjung melebihi 20,000 orang.

Pegawai Daerah Lundu Azmi Bujang semalam menyatakan tarikan utama pesta itu adalah empat acara baharu iaitu bengkel wau, pertandingan memancing, Pueh, Sematan Outdoor Challenge dan Pesta Sematan Idol (karaoke).

Pueh Sematan Outdoor Challenge menghendaki peserta lelaki berlari sejauh 10 kilometer (km) dan berbasikal sejauh 26 km, sementara peserta wanita dikehendaki berlari sejauh enam km dan berbasikal sejauh 20 km bagi bergelar johan pertandingan.

Tambah Azmi lagi, sejak dimulakan pada 2009, pihaknya telah bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi DiGi dan sekretariat Pejabat Daerah Kecil Sematan bagi menjayakan acara itu.

“Pada Jumaat 2 November, ekspo tani, pameran dan jualan akan diadakan di Tebingan Sematan manakala bengkel wau di Dewan Masyarakat Sematan dan persembahan gendang Melayu Sarawak di Medan Selera Suria Tanjung,” katanya ketika mempengerusikan sidang media di Pejabat Yayasan Sarawak semalam.

Acara kemuncak pembukaan majlis akan dirasmikan oleh Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem pada 3 November di samping ekspo tani, pameran, jualan dan kenduri rakyat yang akan diadakan di Tebingan Sematan.

Manakala pertandingan tarik tali untuk kategori wanita dan lelaki mendapat penyertaan 12 pasukan bagi merebut wang tunai RM1,500 bagi johan disusuli sukan rakyat dan persembahan wau akan diadakan di Pantai Abang Amin.

“Sepanjang aktiviti ekspo dan pameran kita mendapat 213 penyertaan dan kenduri rakyat akan menghidangkan menu pelbagai rakyat tempatan antaranya kerabu umbut apong (nipah), botok pedak, kerabu umbut lengkuas, ayam pak loh, sotong sumbat, ikan pekasam, nasi bontkong, kuih keladi, sup ubi kayu (ponas) dan banyak lagi, katanya semalam.

DiGi turut membuka penyertaan kepada orang awam bermula 8 pagi hingga 4 petang tanpa sebarang bayaran pendaftaran.

Bagaimanapun, Azmi mengingatkan para kaki pancing agar membawa peralatan memancing sendiri di Jeti Long, Sematan.

Katanya johan dipilih berdasarkan berat ikan yang dipancing.

Pada hari yang sama, pengunjung turut dijemput ke acara pentas rakyat (persembahan kebudayaan dari Tebedu) di Medan Selera Suria Tanjung, Sematan.

Manakala hari terakhir pada 4 November akan diadakan ekspo tani, pameran, jualan, senamrobik dan majlis penangguhan Pesta Sematan diadakan di Tebingan Sematan.

Acara kemuncak, Pueh Sematan Outdoor Challenge 2012 dan pertandingan tarik tali (akhir) pula akan diadakan di Pantai Abang Amin.