Lelaki maut, tiga parah dalam dua kemalangan

0


BEGINILAH keadaan kenderaan dinaiki tiga mangsa yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sin Onn Tiku, Tawau, kelmarin.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi parah dalam dua kemalangan jalan raya berasingan di Beaufort dan Tawau kelmarin.

Dalam kejadian pertama di Tawau, seorang lelaki meninggal dunia selepas kereta yang dinaikinya terbabas dan bertembung dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Sin Onn Tiku, Tawau, kira-kira jam 11.15 pagi kelmarin.

Difahamkan, pasukan Bomba dan Penyelamat yang tiba di lokasi kejadian terpaksa menggunakan alat pemotong untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin, berkata mangsa dikenali sebagai Edward Busang, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Mangsa merupakan penumpang di kerusi hadapan kenderaan terbabit,” katanya, sambil menjelaskan pemandu dan seorang lagi penumpang di kerusi penumpang belakang kereta itu mengalami cedera parah.

Ibrahim berkata, kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Tawau, sementara pemandu lori yang bertembung dengan kenderaan yang dinaiki oleh ketiga-tiga mangsa pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebelum kejadian berlaku, kenderaan yang dinaiki oleh ketiga-tiga mangsa menghala ke Ranggu dari arah Jalan Tiku, tetapi terbabas di lokasi kejadian dan bertembung dengan lori berkenaan.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kita berharap orang ramai yang menyaksikan kejadian ini dapat menghubungi pihak polis untuk memberikan maklumat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan masing-masing semasa berada di atas jalan raya dan berhati-hati semasa memandu bagi mengelak insiden tidak diingini daripada berlaku.

Sementara dalam kejadian di Beaufort, seorang guru mengalami kecederaan parah setelah kenderaan dipandu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kampung Kebajang, di sini, kelmarin.

Insiden berlaku jam 12.30 tengah hari. Mangsa dikenali sebagai Laidin Jariman, 40, cedera teruk di bahagian kepala dan badan akibat kemalangan itu.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Kampung Bengkalalak dari Pekan Beaufort untuk menghadiri acara sukan sebelum kemalangan terjadi. Proton Saga dipandunya dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum bertembung lori satu tan dari arah bertentangan.

Mangsa kini dirawat di Hospital Daerah Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Mustaffa Maarof Mustaffa, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.