Rompakan bersenjata api di premis jual berlian di Wisma Merdeka

0

RAKAMAN sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kedua-dua suspek ketika kejadian rompakan itu.

Identiti seorang suspek dikenal pasti

KOTA KINABALU: Polis sudah mengenal pasti identiti salah seorang suspek yang melakukan rompakan bersenjatakan pistol di sebuah premis menjual berlian di kompleks Wisma Merdeka, lewat petang Rabu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata operasi mengesan suspek berkenaan kini dipertingkatkan.

“Setakat ini, polis sudah mengenal pasti salah seorang daripada suspek yang dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata di kedai menjual berlian tempoh hari. Siasatan kes ini terus dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agensi-Agensi Polis Bantuan Kontinjen Sabah Siri 2/2012 di Hotel Novotel, 1Borneo kelmarin.

Terdahulu, kes yang telah memeranjatkan orang ramai yang mengunjungi pusat belah Wisma Merdeka itu berlaku sekitar jam 6.45 petang Rabu dan polis telah melancarkan operasi mengesan dan membuat sekatan jalan raya di sekitar ibu negeri.

Premis terbabit difahamkan kerugian RM34,000 dengan tujuh aksesori barangan kemas dilarikan oleh perompak, termasuk gelang, rantai, sanggul dan cincin berlian.

Kes terbabit disasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis masih menunggu hasil laporan kimia berhubung kes kebakaran yang membabitkan beberapa siri letupan di pangsapuri Grace Court pada Rabu lalu.

“Polis masih menunggu laporan makmal berhubung punca siri letupan tersebut, ” jelasnya.