Dakwa Sanmina-SCI jika langgar peraturan: MTUC

1

KUCHING: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak mahu kerajaan negeri memulakan pendakwaan ke atas pengarah-pengarah Sanmina-SCI Corporation (M) Sdn Bhd jika mereka didapati melanggar undang-undang serta peraturan buruh.

Setiausaha MTUC Sarawak Andrew Lo dalam kenyataan bertulisnya semalam juga meminta kerajaan negeri lebih berhemat dan meneliti pelabur-pelabur asing sebelum membenarkan mereka melabur atau membuka syarikat di negeri ini.

Tindakan tegas kerajaan, katanya, amat perlu lebih-lebih lagi dalam usaha Sarawak menarik minat pelabur asing menanam modal di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“MTUC meluat dengan tindakan dan cara Sanmina-SCI Corporation (M) Sdn Bhd memecat lebih 800 pekerjanya… Mereka merupakan mangsa syarikat korporat yang hanya mahu mengeksploitasi sumber asli dan rakyat Sarawak,” tegasnya.

Beliau berkata, memang tindakan syarikat menstruktur semula dan pertindihan kerja merupakan sebahagian daripada keputusan perniagaan, tetapi memperlakukan pekerja seperti barang tidak bernilai dan mengabaikan hak sah pekerja adalah suatu yang tidak boleh diterima.

“Jelas kepada kita (MTUC), syarikat ini ada muslihat di sebalik tindakannya dan melanggar etika asas dalam pengurusan sumber manusia. Pindaan terbaharu Undang-undang Buruh Perindustrian, membuatkan pengarah-pengarah serta pengurus-pengurus kanan bertindak sendiri bagi pihak syarikat,” katanya.

Justeru, beliau menasihati pekerja yang terjejas membuat laporan kepada Pegawai Perhubungan Industri kerana dipecat secara tidak adil. Mereka boleh menghubungi MTUC menerusi talian 082-453027 untuk bantuan.

Rabu lepas, pekerja-pekerja syarikat itu yang terjejas berpiket secara aman di pekarangan premis kilang itu yang terletak di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya bagi menuntut keadilan.

Menurut pekerja terjejas yang ditemui semalam mereka diberhentikan kerana syarikat itu melakukan penstrukturan semula menyebabkan kira-kira 800 pekerjanya diberhentikan sejak Selasa lepas.

Pekerja-pekerja telah menerima surat ‘Hilang Jawatan’ (Loss of Office) pada masa berbeza sejak Selasa lalu yang mana mereka diberitahu bahawa syarikat telah ‘menjalani penyusunan semula bagi memperkemaskan operasi perniagaan.’

Surat ‘Hilang Jawatan’ itu menyatakan bahawa syarikat itu amat kesal dengan keputusan untuk memberhentikan pekerjaan dan hari terakhir bagi mereka yang menerima surat adalah Rabu, 31 Oktober.

Menurut mereka lagi, kumpulan pertama yang diberhentikan kerja melibatkan kira-kira 30 pekerja pada Selasa lepas, sementara kumpulan seterusnya sekitar 800 orang dikatakan melalui situasi sama kelmarin.

Mereka memberitahu, Sanmina-SCI dianggarkan mempunyai 1,077 pekerja termasuk pengurusan atasan di kilangnya di Zon Perindustrian Bebas Samajaya.

Ada di kalangan mereka telah bekerja selama lebih 10 tahun dengan syarikat itu dan menyatakan mereka terkejut dengan tindakan drastik yang diambil.

Semalam, piket sama diteruskan dan media diberitahu pihak mengurusan syarikat itu mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sarawak bagaimanapun pertemuan itu dilakukan secara tertutup.