Dakwaan tidak berasas jejas keyakinan pelabur

0

KUCHING: Tan Sri Ting Pek Khiing kesal dengan dakwaan tidak berasas berhubung kerja-kerja pembersihan tanah yang dijalankan di Santubong baru-baru ini bagi projek pembangunan kereta kabel yang pertama seumpamanya di negeri ini.

Beliau yang merupakan penasihat kepada syarikat dan projek yang dicadangkan ini berkata dakwaan tidak berasas tersebut sedikit sebanyak telah menjejaskan keyakinan pelabur asing untuk melabur dalam projek itu.

“Pembangunan kereta kabel merentasi Gunung Santubong dari Pasir Pandak merupakan sebahagian daripada projek di bawah projek induk iaitu Santubong Beach City & Resort Centre.

“Apa yang berlaku baru-baru ini bukan seperti yang didakwa di mana syarikat dikatakan melakukan kerja-kerja pembersihan tanah secara haram sehingga memusnahkan alam semula jadi terutama pokok bakau.

“Sebaliknya, kerja-kerja pembersihan yang dilakukan tersebut adalah bertujuan membersihkan sekitar lokasi tersebut sebagai gambaran awal kepada pelabur tentang potensi projek yang bakal dilaksanakan sebagai mendapat kelulusan daripada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di hotel miliknya Four Points Shereton, Jalan Lapangan Terbang, di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut mengenai projek yang masih dalam cadangan itu, Ting menyasarkan sejumlah RM2.5 bilion pelaburan akan diterima daripada pelabur China dan Eropah bagi memulakan kerja-kerja infrastruktur.

Beliau yang turut yakin kerajaan akan menyambut baik kemasukan pelabur ini berkata projek ini akan muncul sebagai destinasi pelancongan yang paling cantik lengkap dengan segala fasiliti untuk keselesaan dan kemudahan pelancong.

“Santubong memerlukan pembangunan yang meluas  seperti yang ditawarkan di Langkawi dan pusat-pusat peranginan yang lain termasuk Genting Highland.

“Berpuluh-puluh tahun lamanya, sehingga kini Sarawak belum menawarkan kereta kabel sebagai satu daripada tarikan pelancongan dan saya percaya ramai di kalangan rakyat di negeri ini mahu melihat cadangan ini menjadi kenyataan,” katanya.

Projek Santubong Beach City & Resort Centre meliputi kawasan seluas 1,000 hektar di mana pembangunan kereta kabel adalah cadangan yang pertama yang akan dibangunkan bagi menarik kedatangan pelancong dan pelabur ke kawasan ini.

Sebaik mendapat lampu hijau daripada kerajaan, pembangunan kereta kabel akan melibatkan tiga stesen, pertama Pasir Pandak, stesyen kedua di Kampung Santubong dan berakhir di Gunung Santubong.

Mengambil masa satu jam untuk sampai ke stesen Gunung Santubong, pengunjung katanya akan dikenakan bayaran kurang daripada RM30 untuk perjalanan pergi dan balik di mana mereka akan berkesempatan untuk merakam pelbagai gambar menarik di sepanjang laluan itu kelak.

Selain kereta kabel, Santubong Beach City & Resort Centre turut bakal menawarkan pelbagai kemudahan menarik seperti hotel-hotel baharu, pusat beli-belah dan pelbagai restoran makanan laut segar yang menjanjikan kepuasan dan keriangan.