Iban Trackers layak memohon SVTP1M

1

KUCHING: Iban Trackers yang telah berkhidmat semasa darurat juga layak untuk memohon Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTP1M).

Setiausaha Agung Persa-tuan Veteran Renjer Sarawak Kapten(Bersara) Mohd Johari Ibrahim berkata, meskipun ada sebahagian daripada mereka hanya berkhidmat sebulan hingga tiga bulan namun mereka layak memohon sumbangan sebanyak RM1,000 sekali gus itu.

“Kami menggesa kepada Iban Trackers agar datang ke pusat sehenti yang dilantik dan berdekatan dengan tempat tinggal mereka untuk mendapatkan borang dan menghantarnya.

“Kami menganggarkan kebanyakan daripada Iban Trackers tinggal di kawasan pedalaman dan sudah mencapai usia lebih 70 tahun atau 80 tahun, yang kami percaya masih tidak tahu mengenai SVTB1M ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media mengenai pelaksanaan SVTB1M oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Cawangan Sarawak Leftenan Kolonel Monday Juhid.

Mohd Johari berkata beliau bimbang Iban Trackers serta Renjer Sarawak tidak menge-tahui inisiatif kerajaan itu dan ketinggalan untuk menda-patkan bantuan berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa Iban Trackers di negeri ini terdiri daripada mereka yang berkhidmat di Malaya (Semenanjung Malaysia) semasa tahun 1940 hingga 1950.

Borang SVTB1M boleh didapati di Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Cawangan Sarawak selain pusat-pusat sehenti termasuk Kem Pakit (Sri Aman), Kem Sri Limbang, Kem Sri Miri, Kem Sri Rejang (Sibu), Kem Sematan, Kem Semenggok, Kem Penrissen, Kem Tanah Putih, Kem Balai Ringin (Serian), Kem Betong dan Kem Kuala Segan, Bintulu.

Melalui pembentangan Belanjawan 2013 September lepas, kerajaan telah bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak RM1,000 secara sekali gus kepada 234,500 veteran ATM yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun.

Sumbangan itu melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM234,500 yang dikongsi bersaam oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Bagaimanapun pembayaran SVTB1M hanya akan dilaksanakan pada Januari 2013.