Kemelut pekerja Sanmina-SCI diharap ditangani dalam situasi menang-menang

0

KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berharap kemelut yang dihadapi lebih 800 pekerja Sanmina-SCI Corporation (M) Sdn Bhd (Sanmina-SCI) ditangani dalam situasi menang-menang.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke lokasi Sekolah Dalam Hospital di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini semalam.

Beliau memberitahu, masalah itu harus diatasi dengan seimbang agar tidak merugikan kedua-dua pihak.

“Bagi saya yang sebaik-baiknya dalam situasi seperti ini kita perlu pastikan kedua-dua pihak sama-sama menang.

“Kita perlu lihat dari sudut syarikat dan pada masa yang sama syarikat juga perlu melihat dari sudut kebajikan pekerja,” katanya.

Fatimah memberitahu bahawa kerajaan tidak mahu melihat ada pihak yang akan mengalami kerugian akibat masalah tersebut.

“Jadi apa yang saya lihat dalam kes ini saya percaya kita di pihak kerajaan mahu kedua-dua pihak tidak rugi… itu yang penting,” katanya.

Pada Rabu lalu, lebih 800 pekerja Sanmina-SCI yang diberhentikan oleh syarikat berkenaan mahu kerajaan campur tangan dalam masalah tersebut.