Kerajaan kesal dengan tindakan Sanmina-SCI

0

KUCHING: Kementerian Pembangunan Perindustrian kesal dengan tindakan Sanmina-SCI Corporation (Malaysia) Sdn Bhd (Sanmina-SCI) memberhentikan para pekerjanya dengan memberi notis singkat.

Menerusi kenyataan akhbarnya semalam, kementerian tersebut turut kesal kerana kilang berteknologi tinggi di Kawasan Perindustrian Bebas Samajaya di sini tidak mempertimbangkan rayuan kerajaan sekali gus meneruskan pemberhentian pekerja.

“YB Datuk Amar Menteri (Awang Tengah Ali Hasan) simpati dengan para pekerja yang diberhentikan memandangkan kebajikan mereka adalah keutamaan bagi kami dan telah merayu dengan Sanmina-SCI menangguhkan pemberhentian pekerja hingga hujung tahun,” kata kenyataan itu.

Awang Tengah yang menurut kenyataan itu kini sedang berada di Kuala Lumpur kerana menunaikan tugasan rasmi berkata permohonan itu adalah untuk membolehkan kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mencari penyelesaian.

Ia juga adalah untuk memastikan pekerja terbabit mempunyai masa yang mencukupi mencari kerja lain, selain membolehkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) membantu mereka.

Selepas dimaklumkan secara lisan oleh Sanmina-SCI mengenai keputusan penstrukturan semula pada minggu lepas, pada 29 Oktober, satu mesyuarat antara Awang Tengah dan pengurusan tertinggi syarikat terbabit diadakan.

“Susulan mesyuarat itu, MIDA Kuala Lumpur sege-ra berhubung dengan Ibu Pejabat Sanmina-SCI di Amerika Syarikat agar me-reka menangguhkan pemberhentian pekerja sehingga hujung tahun.

“Ini membolehkan kerajaan negeri dan MIDA membantu pekerja terjejas, terutama mereka yang hilang pekerjaan,” kata kenyataan itu.

 

 

 

Awang Tengah mengarahkan JTK Sarawak memastikan proses pemberhentian pekerja itu dilaksanakan dengan mematuhi Ordinan Buruh Sarawak terutama daripada aspek pampasan dan faedah pemberhentian kerja.

Beliau turut mengarahkan agar membantu pekerja diberhentikan mencari kerja dalam bidang yang sama di Sama Jaya, Samalaju atau di tempat lain yang bersesuaian.

“Jabatan Tenaga Kerja Sarawak akan mengadakan mesyuarat dengan Sammina-SCI sekali lagi untuk berbincang mengenai pampasan pemberhentian,” kata kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan turut menegaskan agar mana-mana pihak tidak mempolitikkan isu pemberhentian pekerja Sanmina.

“Ini merupakan urusan korporat yang dilakukan berdasarkan keputusan perniagaan, tidak ada mana-mana pihak wajar mempolitikkan isu ini.

“Sebaliknya kita perlu memberi tumpuan bagaimana hendak membantu mereka yang terbabit memandangkan kebajikan pekerja adalah keutamaan kami,” ujar kenyataan itu.