Site Last Updated 4:06 pm, Monday

Pekerja Sanmina-SCI terus berpiket

by Rusnan Mustafa. Posted on November 2, 2012, Friday

TOLONG KAMI: Pekerja-pekerja Sanmina-SCI yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil syarikat mereka.

KUCHING: Lebih 800 pekerja Sanmina-SCI Corporation (M) Sdn Bhd (Sanmina-SCI) yang diberhentikan terus mengadakan piket selepas menemui jalan buntu untuk mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan sekali gus menyebabkan kesesakan di pintu masuk syarikat berkenaan di sini semalam.

Pada masa yang sama dua wakil daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang tiba sekitar jam 9.40 pagi semalam di situ bagaimanapun turut dihalang dan tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan atas arahan pihak pengurusan Sanmina-SCI semasa mereka cuba menemui mereka untuk membincangkan masalah tersebut.

Namun, usaha untuk membincangkan dan menyelesaikan masalah itu terus diikhtiarkan bagi membantu pekerja-pekerja yang diberhentikan tanpa diberikan keadilan yang sepatutnya seperti yang didakwa mereka.

“Kami sedang berusaha mengadakan perjumpaan dengan pihak majikan pada masa ini iaitu pada jam 11 pagi nanti (semalam)… kami akan membawa apa yang mereka hasratkan ke situ, keputusan akan masih melalui perundingan dan pihak Jabatan Tenaga Kerja akan mengambil tindakan tersebut,” kata wakil JTK ketika ditemui semalam.

Justeru, pekerja-pekerja yang diberhentikan menggesa campur tangan daripada kerajaan negeri untuk mencari jalan penyelesaian kemelut yang mereka hadapi dengan segera.

Menurut jurucakap yang merupakan salah seorang daripada pekerja Sanmina-SCI yang diberhentikan itu, mereka memohon pemberian pampasan oleh syarikat berkenaan dikaji semula menerusi campur tangan kerajaan negeri.

“Pampasan yang diberikan memang tidak memuaskan dan tidak berperikemanusiaan kerana bagi pekerja yang berkhidmat dua hingga lima tahun mereka hanya dibayar pampasan kurang daripada RM500 dan mereka yang berkhidmat kurang daripada dua tahun pula hanya dibayar RM199 (pampasan).

“Malah, ada pekerja yang berkhidmat kurang daripada setahun tidak diberi apa-apa pampasan, jadi kami minta dan mohon agar pemberian pampasan ini dikaji semula agar mereka yang terlibat berpuas hati dan menerima keadilan yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari kedua piket pekerja berhubung penutupan operasi di Sanmina-SCI, Samajaya semalam.

Menurut mereka yang berkumpul di luar pejabat, kumpulan pertama diberhentikan kira-kira 30 pekerja pada Selasa lepas sementara kumpulan seterusnya dengan kira-kira 800 pekerja dikatakan melalui situasi sama kelmarin (Rabu).

Mereka memberitahu bahawa Sanmina-SCI dianggarkan mempunyai 1,077 pekerja termasuk pengurusan atasan di kilangnya di Zon Perindustrian Bebas Samajaya.

Sesetengah daripada mereka telah bekerja selama lebih daripada 10 tahun dengan syarikat itu dan menyatakan bahawa mereka terkejut dengan tindakan drastik yang diambil.

“Kerajaan negeri perlu campur tangan segera kerana bilangan yang diberhentikan di sini sangat besar dan apa yang berlaku mungkin memberi impak kepada pembangunan industri Sarawak secara keseluruhan,” ujarnya.

Dikatakan pekerja-pekerja telah menerima surat ‘hilang jawatan’ (loss of office) pada masa berbeza sejak Selasa lalu yang mana mereka diberitahu bahawa syarikat telah ‘menjalani penyusunan semula bagi memperkemaskan operasi perniagaan’.

Surat ‘hilang jawatan’ itu menyatakan bahawa syarikat itu amat kesal dengan keputusan untuk memberhentikan pekerjaannya dan hari terakhir bagi mereka yang menerima surat adalah kelmarin (31 Oktober).

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.

88