385 kanak-kanak Tadika KEMAS Lundu terima sijil

0

LUNDU: Seramai 385 kanak-kanak dari 30 buah Tabika KEMAS di kawasan Opar dan Tanjong Datu menerima sijil penyertaan masing-masing selepas berjaya menamatkan pembelajaran di peringkat pendidikan awal kanak-kanak, kelmarin.

Sijil disampaikan oleh Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe merangkap Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara pada majlis yang berlangsung di Dewan Masyarakat Lundu di sini.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Dr Tiki memuji kejayaan penganjuran Majlis Mini Konvensyen Tahun 2012 Kanak-kanak Tabika KEMAS Daerah Lundu (Opar dan Tanjong Datu) yang disifatkan menepati konsep 1Malaysia.

“Tahniah kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kerana berjaya meng-anjurkan majlis yang amat penting kepada anak-anak kita dalam mencorak masa depan negara.

“Paling utama, semangat 1Malaysia dipaparkan dengan jelas dalam majlis ini hasil kerjasama para guru, kakitangan KEMAS, ibu bapa dan pemimpin masyarakat setempat,” katanya.

Tambah Dr Tiki, pendidikan awal melalui Tabika KEMAS penting untuk pembangunan anak-anak terutama dalam usaha menanam semangat patriotik disiplin dan keyakinan diri.

Pada masa sama, Dr Tiki turut menasihatkan anak-anak Tabika KEMAS supaya bersedia menghadapi cabaran apabila memasuki alam sekolah rendah pada tahun depan.

Sebelum meninggalkan majlis, Dr Tiki turut meluangkan masa melawat kaunter pameran pendidikan guru-guru Tabika KEMAS serta menikmati juadah tengah hari bersama pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan, para guru dan ibu bapa yang hadir.

Turut hadir, Penolong Pengarah Operasi Unit Pembangunan Desa KEMAS Negeri Sarawak Langi Liban mewa-kili Pengarah KEMAS Negeri Sarawak.