Projek dialu-alukan tapi perlu patuhi peraturan

0

 

SEKOLAH LESTRAI: Wan Junaidi menyampaikan cek RM5,000 kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Santubong Tukimin Selikin untuk pelaksanaan projek Sekolah Lestari pada program itu, semalam.

KUCHING: Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak membantah sebarang projek pembangunan yang dijalankan di kawasan Parlimen Santubong, namun pemaju perlu mematuhi peraturan yang digariskan kerajaan.

Beliau berkata, pemaju sepatutnya lebih peka dengan peraturan yang ditetapkan kerajaan sebelum memulakan sebarang projek.

“Selaku wakil rakyat di kawasan ini (Parlimen Santubong), saya menerima apa sahaja projek pembangunan tetapi perlu mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

“Ini sahaja, kalau perlu mematuhi peraturan, maka pemaju mesti patuhi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Tan Sri Ting Pek Khiing bahawa kerja-kerja pembersihan tanah secara haram untuk projek kereta kabel tidak berlaku.

Wan Junaidi berkata, sekiranya projek pembangunan yang hendak dilaksanakan berkaitan dengan alam sekitar, maka pemaju perlu merujuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) terlebih dahulu.

“Saya tidak menentang sesiapa, kalau hendak potong pokok sekalipun perlu merujuk EIA.

“Saya memang menyambut baik projek, namun ia perlu dilaksanakan dengan mematuhi EIA kerana melibatkan isu alam sekitar,” ujarnya.

Terdahulu, ketika merasmikan merasmikan Program Rakan Alam Sekitar (RAS) dan Program Flagship Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar Peringkat Parlimen Santubong, Wan Junaidi menjelaskan, kerajaan sentiasa menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar.

“Dengan persekitaran yang bersih dan indah, ia akan dapat meningkatkan kedatangan pelancong serta meningkatkan tahap ekonomi penduduk.

“Tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran tidak harus menjadi tanggungjawab agensi kerajaan semata-mata tetapi perlu dilakukan bersama anggota masyarakat,” jelasnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, Residen Kuching Abdul Rahman Sebli Senusi dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Mohd Faizul Hilmi Zulkifli.