Projek pembinaan jalan lancar: Lee

0

 

LANCAR: Lee (dua kiri) meneliti pelan jalan yang ditunjukkan Mahathir (kiri) dan Ting (kanan).

MIRI: Projek fasa kedua Jalan Permyjaya-Kuala Baram yang meliputi jarak sejauh 11.2 kilometer iaitu bermula dari lampu isyarat Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) hingga ke simpang Jambatan Asian berjalan lancar dengan 48 peratus daripada kerja-kerja pembinaan telah disiapkan.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, projek jalan berkenaan yang menelan kos berjumlah RM115 juta dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan Jun 2013 dan dibuka kepada orang awam pada bulan Julai tahun sama.

“Saya percaya projek fasa kedua (jalan) ini dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan atau lebih awal memandangkan kerja pembinaannya tidak menghalang atau dihalang oleh lalu lintas.

“Ini berbeza dengan fasa pertama dahulu yang terpaksa berdepan dengan masalah kesesakan lalu lintas,” ujarnya.

Tambahan, menurut beliau, projek ini dilaksanakan oleh sebuah kontraktor yang amat baik dan telah bertanggungjawab menyiapkan projek fasa pertama dulu.

Justeru menurut Lee, apabila siap sepenuhnya nanti, projek jalan ini akan memberi kelegaan kepada seluruh penduduk di kawasan sekitar terutama dari Tudan, Permyjaya dan Senadin memandangkan laluan di kedua-dua arah nanti akan dinaik taraf masing-masing menjadi dua lorong.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau tahap kelancaran projek berkenaan di lokasi berhampiran simpang Emart Commercial Centre di sini, semalam.

Lee yang juga Menteri Muda Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, sebanyak enam lampu isyarat akan dibina di sepanjang jalan itu nanti.

Ini termasuk tiga lampu isyarat sedia ada iaitu yang terletak berhampiran IKBN, Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau dan simpang menuju Jambatan Asian, namun akan dinaik taraf menjadi lampu isyarat yang lebih besar terutama di simpang SK Merbau.

“Manakala tiga lampu isyarat baharu akan dibina masing-masing di simpang Desa Murni, simpang Emart Commercial Centre dan simpang menuju ke Universiti Curtin di Senadin,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk di kawasan sekitar agar bersabar sementara menunggu projek jalan fasa kedua ini siap sepenuhnya nanti.

Dalam pada itu, menurut Lee, beliau telah mencadangkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan perunding pemaju agar meletakkan papan tanda jalan atau petunjuk arah yang lebih baik dan besar agar dapat memberi petunjuk arah yang lebih jelas kepada para pengguna jalan raya terutama pemandu dari Negara Brunei Darussalam.

“Kalau boleh, papan petunjuk arah dibina lebih tinggi merentang jalan raya seperti yang terdapat di beberapa bandar besar untuk memudahkan para pengguna jalan raya melihatnya dari jarak jauh,” ujar beliau.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah Mahathir Jokeni selaku Pengurus Projek (Jalan) dari Pejabat JKR Wilayah Miri dan Penolong Jurutera Bahagian JKR, Ting Sie Loh.