Remaja hilang kerja nekad serang pengawal keselamatan

0

KUCHING: Bersenjatakan spanar dan sebilah sabit, seorang remaja nekad menyerang seorang pengawal keselamatan awal pagi semalam yang didakwanya telah menyebabkan dia kehilangan kerja.

Suspek, 22, yang sebelum ini juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah rumah di Jalan Rickets, dipercayai bertindak sedemikian ekoran tertekan selepas diberhentikan kerja baru-baru ini.

Menurut sumber, suspek menuduh mangsa yang berusia 46 tahun itu telah mengakibatkan dia diberhentikan kerja dan ingin membalas dendam atas perkara tersebut.

Suspek dikatakan datang ke rumah tersebut, di mana semasa kejadian mangsa sedang bertugas sekitar jam 4 pagi.

Tanpa memberi amaran, suspek dikatakan terus menyerang mangsa menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala serta beberapa anggota badan.

Seorang lagi pengawal keselamatan yang turut berada di tempat kejadian kemudian segera meleraikan pergaduhan tersebut serta menahan suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Mangsa yang mengalami kecederaan turut dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.