Indeks kesejahteraan keluarga M’sia perlu diperbaiki: PM

0

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata indeks kesejahteraan keluarga Malaysia masih belum berada di tahap cemerlang dan perlu dipertingkatkan bagi melahirkan sebuah negara yang sejahtera.

Katanya ketika ini tahap kesejahteraan keluarga negara ini berada pada 7.55 dari skala 10 dan banyak lagi usaha perlu dibuat bagi memperkukuhkan institusi keluarga.

“Tanggungjawab kerajaan adalah untuk menentukan hala tuju atau memilih model paling sesuai diperjuangkan untuk sebuah negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia di sini, semalam.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Najib berkata, ukuran kesejahteraan keluarga bukan bergantung kepada pendapatan perkapita tetapi perlu dilihat dalam dimensi yang lain merangkumi aspek kehidupan dalam mengukur kesejahteraan dan kebahagiaan.

Katanya kerajaan telah melaksanakan pelbagai komitmen menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat termasuk mengumumkan bulan November sebagai Hari Keluarga dan melancarkannya sebagai bulan Hari Keluarga Kebangsaan.

“Sebagai komitmen berterusan ia akan disambut setiap tahun dan setiap majikan digalakkan mengadakan sambutan itu dan kerajaan akan memberi pengecualian cukai bagi tujuan itu,” katanya.

Dalam usaha memperkukuhkan institusi keluarga, kerajaan juga memperkenalkan dasar keluarga negara, cuti bersalin, subsidi penjagaan anak, taska di tempat kerja dan dasar rumah pertamaku.

Najib berkata kerajaan sedar pendapatan perkapita yang meningkat bukan menjamin kesejahteraan keluarga tetapi keluarga sejahtera perlu menikmati kesejahteraan merangkumi keselamatan dan kehidupan yang harmoni.

Katanya sekalipun unit keluarga adalah paling kecil dalam unit sosial tetapi ia paling penting dalam usaha mencapai kemakmuran dan kesejahteraan keluarga. — Bernama