Pendidikan agama penting bentuk sahsiah pelajar: Nancy

0

KUCHING: Walaupun pendidikan kurikulum dan kokurikulum penting dalam menentukan kecemerlangan tetapi pendidikan agama juga amat penting dalam membentuk sahsiah diri seseorang pelajar.

Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri ketika berucap pada Majlis Khatamal Al-Quran Peringkat SK Green Road, Kuching di sini semalam.

“Penganjuran majlis ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan anak-anak menamatkan pengajian dalam bacaan Al-Quran tetapi apa yang paling penting ialah mesej yang hendak disampaikan dan pengertiannya kepada kita,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 14 pelajar lelaki dan 24 pelajar perempuan telah khatam Al-Quran.

“Penghayatan kepada isi kandungan ayat-ayat suci Al-Quran akan memberi kita inspirasi dan galakan untuk lebih berusaha serta mendekatkan diri kepada-NYA dan menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, penguasaan ilmu pengetahuan merupakan teras bagi membentuk bangsa yang cemerlang dan berjaya yang didasari oleh jati diri dengan ketinggian akhlak dan budi.

Jelasnya, modal insan cemerlang yang diperlukan oleh negara pada masa hadapan ialah mereka yang mempunyai pengetahuan yang tinggi, berpegang teguh kepada agama, berkemahiran, inovatif, memiliki jati diri, beretika serta mempunyai minda kelas pertama.

“Mereka ini bukan sahaja penting kepada pembangunan negara malah memainkan peranan yang penting bagi menjamin kesejahteraan dan perpaduan rakyat serta meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

“Generasi muda inilah merupakan peneraju yang akan memacu kemajuan dan kestabilan politik, ekonomi dan sosiobudaya negara pada masa hadapan,” ujarnya.

Hadir sama Guru Besar SK Green Road, Kuching Shazali Rosdi.