Zoomers Kelab Doktor Muda sasar 50 peratus sekolah

0

KUCHING: Zoomers Kelab Doktor Muda disasar untuk diperluaskan kepada sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 1,246 buah sekolah rendah seluruh negeri menjelang tahun 2015.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, jumlah sekolah yang mempunyai kelab itu yang mempromosi kesihatan Sarawak masih terlalu kecil berbanding jumlah sekolah yang ada.

“Di Sarawak daripada sebanyak 1,246 buah sekolah rendah, (cuma) sebanyak 38 buah sekolah rendah sahaja yang mempunyai Kelab Doktor Muda dan jumlah ini terlalu rendah iaitu hanya tiga peratus.

“Kelab Doktor Muda ini mungkin boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan secara automatik di semua sekolah rendah di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Zoomers Kelab Doktor Muda Peringkat Negeri ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Gita No.2 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan, Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam dan Guru Besar SK Gita No.2 Abdul Latip Bujang.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut melahirkan harapan agar Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Pelajaran Sarawak dapat memperkasakan usaha dalam mempertingkatkan penubuhan kelab itu di sekolah-sekolah.

Program sedemikian, katanya, merupakan satu landasan yang baik untuk mempromosikan kesihatan dalam kalangan murid.

Beliau turut berharap agar program yang dilaksanakan secara perkongsian pintar itu dapat ditingkatkan lagi sokongannya daripada pelbagai pihak, termasuk daripada ibu bapa.

Sementara itu, Dr Zulkifli memberitahu bagi memastikan program tersebut mencapai sasaran, pihaknya telah merangka latihan intensif kepada anggota-angota kedua-dua jabatan sebelum memasuki sekolah rendah.

Katanya, latihan terbabit yang meliputi 28 bidang kesihatan dalam 12 skop akan memastikan kaedah pengajaran lebih sistematik dan mudah diterima ahli-ahli doktor muda sekali gus menarik minat mereka kepada program itu secara lebih jitu.

“Kami amat yakin bakal-bakal doktor muda yang dilatih akan menjadi ‘role model’ ataupun pelajar contoh kepada rakan-rakan sebaya mereka serta keluarga apabila berada di rumah nanti,” katanya.