‘Gendang pampat’ perlu dihidupkan semula, kata Mong

0

TAHNIAH: Mong (dua kanan) menyampaikan piala kepada seorang pemenang sambil disaksikan oleh Leonard dan Mupit (kanan) pada majlis terbabit di Sri Aman.

SRI AMAN: Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Datuk Mong Dagang menyarankan salah satu budaya asal kaum Iban iaitu ‘gendang pampat’ perlu dihidupkan semula di kalangan penduduk generasi muda pada masa sekarang ini.

Mong berkata ‘gendang pampat’ kini seolah-olah tidak dikuasai oleh golongan generasi muda kaum Iban sehingga ia boleh mengancam warisan budaya terbabit pada masa akan datang.

Menurutnya, sejak zaman dahulu ‘gendang pampat’ biasanya dimainkan ketika upacara besar, kelingkang, Gawai Sandau Ari, Gawai Kenyalang atau upacara gawai  lain di kalangan masyarakat Iban.

“Tetapi hari ini ‘gendang pampat’ hanya dikuasai golongan warga emas, justeru timbulnya ancaman ialah apabila majoriti golongan muda kita nyata tidak tahu cara untuk memainkan alat tersebut,” katanya pada Majlis Malam Mesra dan Kebudayaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Selanjan, di Lachau, Sri Aman, semalam.

Dalam majlis itu, Mong mengumumkan peruntukan sejumlah RM6,000 untuk menganjurkan Pertandingan ‘Gendang Pampat’ dan RM6,000 kepada PIBG SK Selanjan.

Sehubungan itu, Mong berkata untuk menyegarkan kembali budaya tersebut semua pihak perlu menggandakan usaha bagi mendidik anak-anak muda Iban pada masa sekarang menguasai adat ‘gendang pampat’ itu.

“Saya menyeru persatuan budaya atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di rumah panjang untuk mengadakan kelas bermain gendang pampat mulai sekarang.

“Usaha ini penting agar ‘gendang pampat’ tidak pupus dan seterusnya boleh diketengahkan kepada kaum-kaum lain di negara ini pada masa akan datang,” kata beliau.

Turut hadir Pegawai JASA Parlimen Sri Aman Whelton Lumpoi, Guru Besar SK Selanjan Leonard Libau, Yang Dipertua PIBG SK Selanjan Tuai Rumah  Winston Mupit dan Pembantu Kanan JASA Bukit Begunan Jessy Bintoh.

Acara menarik diadakan sempena majlis itu ialah Pertandingan Gendang Pampat Terbuka, Berdindang, Bintang Kecil, Kilauan Emas (Perempuan) Terbuka dan cabutan bertuah.