Institusi prasekolah cemerlang perlu dedikasi guru, pengasuh, ibu bapa

0

CEMERLANG: Fatimah menyampaikan hadiah kepada salah seorang murid Sekolah Rendah Islam Al-Amin.

KUCHING: Institusi pendidikan prasekolah yang cemerlang memerlukan dedikasi sepenuhnya daripada guru dan pengasuh serta ibu bapa untuk memastikan perkembangan positif kanak-kanak dari segi minda dan sahsiah diri.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata pendidikan prasekolah seperti taska dan tadika memainkan peranan penting pada peringkat asas pendidikan seseorang kanak-kanak.

Beliau berkata setakat tahun 2012 Sarawak mempunyai 117 taska dengan bilangan kanak-kanak seramai 2,186 dan 346 pengasuh manakala bilangan tadika di negeri ini adalah 3,331 buah dengan bilangan kanak-kanak mencecah 77,002 dan guru seramai 5,243 orang.

Untuk menggalakkan lagi pendaftaran kanak-kanak ke insititusi prasekolah, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif melalui Kementerian Pelajaran Malaysia termasuk menambahkan bilangan taska dan tadika di negeri Sarawak dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), SeDIDIK dan pihak swasta tambah beliau.

Menurutnya, statistik daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak menunjukkan peningkatan sebanyak 97 peratus murid-murid Tahun Satu yang pernah mengikuti kelas prasekolah bagi tempoh 2010 hingga 2012.

“Bagi membantu meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak khususnya di peringkat prasekolah dan tadika, Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-kanak Sarawak (MPAKS) telah menggubal dan mewujudkan Manual Standard Kualiti Pendidikan Tadika di Negeri Sarawak yang telah dilancarkan pada bulan Mac lepas.

“Ia adalah sebagai garis panduan bagi tadika awam dan swasta merangkumi lima dimensi utama iaitu aspek fizikal, program pembelajaran, kebajikan dan kesejahteraan murid, personel dan pengurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada  Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah Tadika Nurul Iman dan Sekolah Rendah Islam Al-Amin di Auditorium Dewan Bandaraya Kuching Utara semalam.

Beliau juga menekankan kelayakan guru-guru khususnya di tadika hendaklah memiliki sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak bagi memastikan keberkesanan program prasekolah.

Bagi guru-guru yang tidak memiliki sijil tersebut digalakkan mendaftar bagi menghadiri Konvensyen Pendidikan Prasekolah Siri 7 Tahun 2012 yang akan diadakan di RH Hotel Sibu pada 12 hingga 14 November ini, jelasnya.

Konvensyen yang diadakan sejak 2006 itu bertujuan memberi pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan menjadi ruang perkongsian pengalaman bagi guru-guru prasekolah mengenai kaedah penyampaian pembelajaran yang berkualiti dan berkesan, ujar beliau.

Majlis semalam juga menyaksikan penyampaian hadiah kepada pelajar cemerlang akademik oleh Fatimah serta persembahan menarik daripada murid-murid Tadika Nurul Iman dan Sekolah Rendah Islam Al-Amin.