Pengusaha taska swasta berstatus individu hadapi pelbagai cabaran

0

BINTULU: Meskipun pelbagai insentif dan sokongan dalam Belanjawan 2013 disediakan kerajaan dalam proses pendaftaran taska, namun pelbagai cabaran besar yang dihadapi oleh pengusaha swasta berstatus individu.

Pengusaha Taska Permata Kasih, Maraini Jaafar berkata pengusaha taska swasta berstatus individu masih menghadapi cabaran besar bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan disebabkan kekangan kos operasi yang tinggi, kesukaran mendapat staf yang sesuai, kurang sokongan dari badan korporat dan agensi.

Katanya, antara sokongan yang diperlukan dari segi mendapatkan sumbangan kemudahan fizikal taska dan sokongan dari segi subsidi yuran kepada ibu bapa berpendapatan rendah dan mempunyai ramai anak dengan kos perbelanjaan bulanan di taska amat tinggi berbanding di peringkat tadika atau sekolah.

“Mengusaha perkhidmatan taska bukan mudah dan bukan menguntungkan, namun kita prihatin dengan tanggungan ibu bapa.

“Tetapi kami perlu memikirkan kebajikan staf dan kos operasi yang sentiasa meningkat,” katanya pada Majlis Hari Keluarga Permata Kasih 2012 di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Beliau berkata dengan sokongan semua pihak dan agensi berkaitan untuk membantu, kita mungkin dapat mengurangkan yuran bulanan kepada ibu bapa dan kualiti perkhidmatan juga dapat ditingkatkan.

Maka atas dasar itu, beliau merayu semua pihak memberi komitmen dalam menyokong usaha taska berdaftar mengenakan yuran di bawah RM350 sebulan bagi menjamin kelangsungan operasi mereka.

Terdahulu pelbagai aktiviti diadakan seperti penyampaian hadiah dan cenderamata kepada kanak-kanak taska terbabit. Kanak-kanak Contoh Taska Permata Kasih pula disandang oleh Ikhwan Aqil Muammar Quaddafi.

Tiga kanak-kanak Permata Kasih yang layak ke SK Agama Majlis Islam Sarawak Bintulu ialah Ikhwan Aqil, Mohd Iman Hakim Mohd Norakmal dan Qurratu Aina Amani Helmi.