Kerajaan pastikan penduduk dapat BR1M 2.0

0

BANTU RAKYAT: Tiong (duduk dua kanan), Lau (tiga kiri) serta yang lain semasa bercakap kepada pemberita di Sibu, semalam.

Pada edisi pertama segelintir penduduk di Sibu yang layak memohon tidak mendapat bantuan ini

SIBU: Kerajaan akan me-mastikan bahawa penduduk di sini akan mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 agar tidak tercicir lagi pada kali ini.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King berkata pada edisi pertama BR1M tahun lalu terdapat segelintir daripada penduduk di sini yang layak memohon tidak mendapat bantuan tersebut.

“Ini mungkin disebabkan kesilapan dari segi mengisi butir-butir dalam borang BR1M serta kesilapan lain dalam mengemukakan maklumat peribadi atau sebaliknya.

“Kali ini saya sendiri akan turun padang bersama Temenggung Vincent Lau untuk membantu rakyat mengisi borang tersebut, bagi mengelak kesilapan yang boleh menggagalkan mereka (pemohon) mendapatkan BR1M 2.0,” katanya di sini, semalam.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Lanang memberitahu, sebuah pondok akan didirikan di Pasar Sentral Sibu bermula hari ini dari jam 8 pagi hingga 3 petang pada setiap hari.

“Kami menjangkakan akan mendirikan pondok itu sehingga akhir Disember ini. Namun, bergantung kepada orang ramai yang memerlukan bantuan kami di Pasar Sentral itu.

“Justeru, kami menjemput sesiapa sahaja mengunjungi pondok kami bagi mendapatkan borang atau panduan mengisi borang.

“Bagi memastikan penduduk Sibu tidak tercicir mendapatkan BR1M 2.0, kami Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan mengarahkan semua pusat perkhidmatan SUPP cawangannya di sini mengadakan perkhidmatan serupa dan akan bermula serentak esok (hari ini),” jelas-nya.

Beliau menyeru kepada mereka yang layak supaya tidak melepaskan peluang mendapatkan bantuan ini kerana ia adalah hak masing-masing untuk menuntut bantuan tersebut seperti dijelaskan syarat-syaratnya sebelum ini.

“Kami akan memantau mereka yang layak untuk mendapatkan bantuan ini, kerana tidak mahu ada yang tercicir lagi dan sungguh tidak adil jika mereka yang sepatutnya layak menerima bantuan ini tidak menerimanya.

“Oleh itu, kami terus memperluas perkhidmatan kepada rakyat untuk membantu mereka mengisi borang ini agar tidak berlaku kesilapan,” katanya.

Tiong menjelaskan, pondok terbabit dilengkapi dengan sistem Internet sambil dibantu oleh beberapa kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyemak status pemohon dan borang yang siap diisi dapat terus dihantar pada masa yang sama.

“Segala-galanya disediakan di situ termasuk mesin fotostat untuk salinan kad pengenalan dan slip gaji pemohon. Kami mempelawa sesiapa sahaja yang layak memohon BR1M supaya datang ke pondok atau kaunter kami di Pasar Sentral.

“BR1M membuktikan kerajaan BN mengambil berat terhadap kebajikan rakyat dan ini merupakan sebahagian daripada rancangan berterusan kerajaan membantu meringankan beban dan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat,” katanya.