Pejabat Residen Bintulu lancar amalan 5S

0

BINTULU: Dalam usaha memastikan suasana tempat  kerja yang bersih, Pejabat Residen dan Daerah Bintulu melancarkan Amalan 5S di Wisma Residen semalam.

Amalan 5S iaitu Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke adalah perkataan Jepun yang membawa maksud Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Praktik.

Pejabat Residen dan Daerah Bintulu telah mendapat pensijilan Amalan 5S pada 30 September 2011 dan berusaha mendapatkan pensijilan itu semula menjelang Januari 2013.

Residen Bintulu, Muhamad Yakup Kari berkata untuk memastikan tempat kerja di Wisma Residen Bintulu sentiasa bersih ke arah amalan 5S maka kakitangan dan orang awam digesa sentiasa menjaga kebersihan seluruh kawasan di wisma itu.

“Bukan sahaja usaha untuk mencegah wabak (kolera) yang pernah berlaku di Bintulu pada Ogos tahun ini dan menjadikan Bintulu bebas wabak, amalan 5S adalah satu sistem aliran tempat kerja yang tersusun dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Amalan 5S dan Gotong-royong Perdana di Wisma Residen yang turut dihadiri oleh Timbalan Residen  (Pembangunan), Sirai Daha dan Timbalan Residen (Sosial), Richard Michael Abunawas di sini semalam.

“Saya akan mengumumkan amalan 5S (di Wisma Residen) yang mana pelawat yang datang perlu parkir kereta secara undur di tempat parkir supaya dalam keadaan darurat atau kecemasan dapat keluar dengan cepat dari tempat parkir,” katanya.

Pendekatan itu juga untuk mengelak kesesakan di kawasan pejabat dan orang awam dilarang meletak kereta di kawasan yang bukan dikhaskan untuk parkir di Wisma Residen.

“Dalam jangka masa panjang orang awam diminta berkongsi idea dan cadangan memperbaiki perkhidmatan Wisma Residen sekali gus sama-sama membangunkan Pejabat Residen yang penting untuk perhubungan komuniti Bintulu,” jelasnya.