Kontraktor rugi RM1.35j dirompak kumpulan lelaki bertopeng

0

BELURU: Sebuah syarikat kontraktor kepada syarikat minyak dan gas kerugian RM1.35 juta setelah dirompak oleh sekumpulan lelaki berto­peng yang bersenjatakan se­napang patah dalam kejadian yang berlaku di KM8 Jalan Beluru-Long Lapok, Bakong di sini, petang semalam.Menurut sumber, sebelum kejadian sekitar jam 3 petang itu, empat kakitangan syari­kat kontraktor terbabit yang menaiki sebuah kenderaan jenis Hilux (double-cab) berwarna biru milik syarikat, sedang dalam perjalanan dari pejabat di Kem 8, Bintulu menuju ke Kem 6 di Tinjar, Lapok dengan membawa wang tunai berjumlah lebih RM1.35 juta.

Difahamkan, wang itu adalah untuk membayar gaji para pekerja syarikat kontrak­tor terbabit.

Setiba di tempat kejadian, kenderaan yang dinaiki keem­pat-empat mangsa telah dip­intas oleh sebuah kenderaan jenis Hilux Mitsubshi Triton berwarna perak yang dinaiki antara tujuh dan lapan orang lelaki bertopeng sambil dua daripada suspek masing-mas­ing mengacukan senapang patah ke arah kenderaan mangsa.

Sejurus memintas, kereta suspek berhenti di hadapan kereta mangsa sehingga me­maksa mangsa memberhen­tikan kenderaan mereka.

Kemudian, tiga hingga empat daripada perompak terbabit keluar dari kenderaan mereka sambil menuju ke arah kereta mangsa, manakala dua lagi terus mengacukan sena­pang patah ke arah mereka.

Perompak terbabit kemu­dian merampas beberapa beg berisi wang berjumlah RM1.35 juta yang disimpan di bahagian belakang kenderaan sebelum melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baram, Deputi Su­perintenden (DSP) Abu Bakar Mokhtar ketika dihubungi lewat petang semalam menge­sahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, ketika kejadi­an kesemua mangsa yang merupakan kakitangan sya­rikat kontraktor terbabit se­dang dalam perjalanan mem­bawa wang tunai RM1.35 juta untuk membayar gaji pekerja ke Kem 6 Tinjar, Lapok apabila tiba-tiba ditahan se­kumpulan tujuh hingga lapan orang perompak.

“Perompak terbabit yang menaiki kenderaan jenis Hilux Mitsubishi Triton ber­warna perak dengan nombor pendaftaran QTx 6053 turut bertopeng dan bersenjatakan dua laras senapang patah,” katanya.

Katanya, perompak terba­bit turut bertindak melanggar kereta mangsa sebelum me­mecahkan cermin belakang kenderaan pacuan empat roda mangsa untuk mengambil beberapa beg berisi wang tunai tersebut yang diletakkan di bahagian belakang kend­eraan.

Pun begitu, katanya, keempat-empat mangsa, tiga daripadannya berketu­runan India dan seorang Melayu (pemandu) tidak dicederakan. Manakala ken­deraan mangsa juga tidak dilarikan.

Sehubungan itu, kata Abu Bakar, polis akan melakukan siasatan terperinci dan kes akan disiasat mengikut Sek­syen 395 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan dan bersenjata api.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

“Perompak terbabit ke­mudian dilihat melarikan diri menuju ke arah luar Jalan Beluru,” katanya sam­bil memberitahu sejurus itu polis telah melancarkan Ops Tutup di beberapa batang jalan utama sebagai usaha untuk mengesan perompak terbabit.