Site Last Updated 9:44 am, Saturday

Saringan kesihatan percuma untuk pencarum PERKESO tahun depan

Posted on November 7, 2012, Wednesday

KUCHING: Pencarum aktif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang berumur 40 tahun ke atas di negeri ini akan menikmati saringan kesihatan percuma oleh PERKESO pada tahun depan.

Pengarah PERKESO Negeri John Riba Marin berkata, saringan kesihatan itu hanya akan dilakukan sekali sahaja dengan kos ditanggung oleh PERKESO.

Jelas beliau, ia bertujuan membantu golongan pekerja tersebut mengesan penyakit seperti darah tinggi, penyakit jantung, kencing manis, buah pinggang, kanser, pemeriksaan kolesterol serta ‘pap smear’ dan mamogram untuk wanita.

“Kita prihatin terhadap kebajikan pekerja dan mahu memastikan mereka mendapat kesihatan yang baik.

“Ini (saringan kesihatan percuma) merupakan program besar PERKESO tahun depan dan kita mahu golongan pekerja tersebut di negeri ini turut menikmatinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Ops Kesan PERKESO 2012 di sini, semalam.

Program saringan kesihatan itu diperkenalkan menerusi Belanjawan 2013.

Menurut John, PERKESO telah memperuntukkan RM200 juta untuk melaksanakan program itu.

Beliau menambah, saringan kesihatan ini akan dijalankan di klinik-klinik swasta yang menjadi panel PERKESO dengan menggunakan baucar khas yang akan diberi kepada majikan.

“Saya harap golongan pekerja yang berusia 40 tahun ke atas di Sarawak maklum mengenai perkara ini dan bersama-sama menikmati manfaatnya apabila dilaksanakan kelak,” katanya.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.