Tebaloi antara enam lagi produk unik berpotensi GI

0

KUCHING: Tebaloi merupakan antara enam lagi produk unik tempatan yang dikenal pasti berpotensi untuk didaftarkan sebagai Petunjuk Geografi (GI) yang mempunyai nilai komersil tinggi.

Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Datuk Azizan Mohamad Sidin berkata, ia adalah sebahagian daripada 29 produk unik di negara ini yang masih belum didaftarkan sebagai GI.

“MyIPO telah mengenal pasti beberapa produk unik tempatan di negeri ini iaitu Kayu Jerangau, Tebaloi, Belacan Miri, Batik Sarawak, Gula Apong dan Kain Pua Kumbu.

“Sehingga kini, di Sarawak terdapat beberapa produk tempatan telah didaftarkan sebagai GI iaitu Lada Sarawak, Beras Bario, Sarawak Litsea, Kek Lapis Sarawak dan Terung Asam Sarawak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Nasional Mengenai Perlindungan GI di sini, semalam.

Menurut Azizan, di Malaysia kira-kira 22 produk unik telah didaftarkan sebagai GI, sementara 29 lagi dikenal pasti berpotensi dan belum didaftarkan termasuk di Sarawak dan Sabah.

Katanya, pendaftaran bagi GI dijangka memakan masa hanya lapan hingga sembilan bulan untuk diluluskan dan percaya Sarawak dan Sabah masih mempunyai banyak lagi produk unik untuk didaftarkan.

Pendaftaran GI bukan pemilikan persendirian oleh seseorang individu, sebaliknya konsep pemilikan bersama bagi pengeluar-pengeluar yang menjalankan aktivitinya dalam geografi yang dinyatakan.

Sementara itu, Azizan menggesa orang ramai supaya melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jika didapati ada produk GI yang telah didaftar, tetapi mengelirukan.

“Kita berharap mereka yang mendapati produk GI yang digunakan mengelirukan melaporkan kepada kementerian dan mereka akan menyiasat perkara itu.

“Misalnya, kalau Beras Bario yang didakwa ditanam di Sri Aman. Sebenarnya, ini tidak boleh berlaku kerana Beras Bario mesti dari Bario kerana ia telah didaftarkan GI,” ujar beliau.

Tambahnya, jika ada pihak yang didapati melanggar peraturan itu, boleh didenda di bawah beberapa akta KPDNKK termasuk Akta Perihal Dagangan.