Persetubuhan di luar tabii: Rayuan ayah tiri diketepikan

0

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini kelmarin mengekalkan hukuman penjara 18 tahun dan enam sebatan terhadap seorang lelaki warga asing, atas kesalahan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan peraturan tabii terhadap anak tirinya.

Pesuruhjaya Kehakiman Ravinthran N Paramaguru membuat keputusan itu terhadap perayu yang berusia 34 tahun, selepas mengenepikan rayuannya atas hukuman yang dijatuhkan mahkamah rendah.

Pada 23 Mac tahun ini jam 9.30 pagi di tebing sungai Dambai, Kionsom, Inanam, perayu telah memasukkan objek keras dan tumpul ke dalam kemaluan mangsa.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377 C A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Ketika menyampaikan penghakimannya itu, Ravinthran berkata hukuman itu adalah adil dan mangsa merupakan anak perempuan perayu sendiri.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan perayu menjalani hukuman itu secara serentak dengan dua lagi hukuman penjara 20 tahun dan 15 sebatan atas kesalahan merogol dan 13 tahun atas kesalahan cubaan membunuh.

Selain itu, beliau juga mengarahkan perayu menjalani hukuman itu bermula pada 4 Julai tahun ini.

Pada 23 Mac tahun ini jam 9.30 pagi, di tempat sama, perayu telah cuba membunuh dan mencederakan mangsa.

Atas kesalahan rogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebat.

Bagi kesalahan mencederakan, dia didakwa mengikut Seksyen 307 kanun sama yang boleh dipenjara sehingga sepuluh tahun dan denda.

Oleh itu, perayu yang tidak diwakili peguam kekal menjalani hukuman penjara 33 tahun dan 15 sebatan rotan untuk semua kesalahan berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Uma Devi Balasubramanian memohon agar hukuman berkenaan dikekalkan dan tidak diganggu serta berjalan secara berasingan.