Site Last Updated 8:45 am, Sunday

UMW Group taja RM1 juta untuk PGM Tour

Posted on November 8, 2012, Thursday

KUCHING: UMW Group telah meluluskan tajaan berjumlah RM1 juta kepada Professional Golf Malaysia (PGM) untuk tempoh tiga tahun, menurut kenyataan akhbar kelmarin.

Penajaan tersebut adalah sebahagian daripada program penjenamaan UMW Group di samping membantu dan mempromosi pembangunan golf profesional di Malaysia. Tajaan tersebut bermula pada tahun lepas dengan jumlah RM250,000 manakala baki selebihnya akan dijelaskan tahun depan.

Untuk tahun ini, UMW Group menaja sebanyak RM250,000 lagi bagi menganjurkan PGM-UMW Glenmarie Classic yang akan berlangsung dari 19 hingga 22 November ini di Glenmarie Golf & Country Club.

Selain itu, UMW turut menyediakan biasiswa sebanyak RM20,000 kepada pelajar PGM Peak Performanc Academy Mohd Hafiy Afiq Suhaili.

Akademi tersebut memberi latihan kepada pemain golf terbaik di Malaysia agar mereka dapat bertanding di Tour Asia atau Eropah.

Ketika ini, seramai 12 pelajar sedang mengikuti program intensif selama enam bulan tersebut.

Mohd Hafiy yang juga pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Aeronautik di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia mula berjinak dengan golf sejak berusia 12 tahun.

Ketika berumur 15 tahun, Mohd Hafiy telah mewakili Kelantan pada Sukan Malaysia sebelum menjadi ahli skuad kebangsaan elit Persatuan Golf Malaysia (MGA) pada 2005.

Setelah menjadi pemain profesional dua tahun lepas, Mohd Hafiy mula menunjukkan pencapaian memberangsangkan menerusi penampilannya dalam 15 Tour PGM.

Pencapaian terbaik itu memastikan beliau berada di kedudukan ke-22 daripada 94 pemain dalam senarai PGM Tour’s 2012 Order of Merit dengan pendapatan berjumlah RM24,814.60.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih ke atas UMW Group atas tajaan ini. Ia akan membantu karier saya dalam Tour PGM,” kata Mohd Hafiy semasa majlis penyampaian cek tajaan baru-baru ini.

“Sebelum ini, saya terpaksa berusaha lebih untuk mendapatkan wang kerana kejohanan ini sangat mahal. Saya berjanji akan memberikan yang terbaik dan tidak menghampakan pihak penaja dan mengharumkan nama negara,” tambahnya.

Hadir pada majlis penyerahan cek ialah Pengerusi PGM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Pengerusi UMW Tan Sri Asmat Kamaludin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Datuk Syed Hisham Syed Wazir dan Pengarah Eksekutif UMW Dr Wafi Nazrin Abdul Hamid.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.