Upacara pertukaran pengawal di Istana Negara tambah tarikan

0

Upacara pamer kehebatan tradisi ketenteraan ditonjol dua pengawal 

KUALA LUMPUR: Upa-cara Pertukaran Pengawal yang melibatkan soldadu berpakaian tradisional Me-layu serta lengkap dengan sistem bunyi yang akan diadakan dua kali sehari mulai semalam di Istana Negara lama di sini, akan menjadi satu lagi daya tari-kan pelancongan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang menyaksikan upacara yang julung kali diadakan itu semalam, berkata upacara menarik itu akan diadakan pada jam 10 pagi dan 3 petang di hadapan istana berkenaan.

Upacara itu akan memperlihatkan kehebatan tradisi ketenteraan melibatkan dua pengawal yang berpakaian kemas berkawat masuk dan dua lagi berkawat keluar, katanya.

“Upacara ini akan mempamerkan tradisi dan budaya milik kita yang menjadi amalan pada zaman Kesultanan Melayu dahulu kala dan pada zaman ketika Istana Negara dikawal oleh mereka yang gagah perkasa,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara itu di hadapan Istana Negara lama.

Turut hadir Timbalan Menterinya Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Ketua Setiausaha Kementerian ber-kenaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Timbalan Ketua Setiausaha Datuk Dr Rothiah Omar.

Sebelum ini, dua anggota tentera berkuda yang berpakaian seragam lengkap akan berkawal di kedua-dua belah pintu gerbang istana berkenaan di mana terdapat pondok pengawal, sama seperti yang menjadi amalan di Istana Buckingham di London. Tetapi, ia tidak melibatkan Upacara Pertukaran Pengawal.

“Sekarang, dari semasa ke semasa, dua pengawal akan berada di dalam pondok itu dan mereka akan bertugas selama dua jam (mengikut jadual yang ditetapkan) bagi membolehkan pelawat dan pelancong menyaksikan Upa-cara Pertukaran Pengawal yang merupakan satu amalan tradisi pada zaman lampau,” kata Rais.

Beliau berkata Jabatan Kebudayaan membuat pe-rancangan dengan Jabatan Muzium dan Jabatan Warisan Negara serta Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan untuk memberi fokus terhadap Istana Negara lama dan memastikan ia boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh generasi muda dalam mempelajari serta memahami kepentingan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong selama 54 tahun itu.

Sementara itu, Rais berkata Jabatan Muzium sedang mendapatkan input dan maklum balas berkaitan rancangan untuk menubuhkan sebuah Muzium Diraja di Istana Negara lama, manakala Jabatan Warisan Negara akan menangani perkara berkaitan peruntukan Seksyen 114 Akta Warisan dan prasyarat serta peraturan yang ditetapkan bagi memastikan bangunan lama di sini dipulihara dengan baik.

Di samping itu, kata beliau, Istana Negara lama juga akan dilengkapi kemudahan se-perti restoran serba menarik serta kemudahan bagi orang ramai atau kumpulan untuk mengadakan majlis di halamannya.

“Semua ini akan menjadi pelengkap kepada penggunaan Istana Negara lama pada masa akan datang. Kita berbangga dengan negara kita dan oleh itu, kita pamerkan apa yang kita ada. Saya rasa orang akan gembira dan berpuas hati apabila mereka berkunjung ke tempat ini,” katanya.

Hampir satu juta pelancong tempatan dan asing melawat Istana Negara lama setiap bulan untuk melihat pameran sistem pemerintahan beraja di Malaysia.

Pameran itu, yang bermula April dan akan berakhir hujung tahun ini, dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Tiada bayaran masuk dikenakan. — Bernama