Trek basikal bukit dan joging baharu di KIRC

0

PUSAT RIADAH: Trek basikal bukit dan joging bakal siap dibina di belakang pentas utama KIRC bulan depan.

KUCHING: Aktiviti riadah berbasikal bukit dan ber­joging semakin popular di ka­langan orang awam terutama para remaja di sekitar bandar raya hari ini.

Menyedari hakikat ini, Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) akan mem­bangunkan kawasan bukit berhampiran Pusat Rekreasi Bersepadu Kuching (KIRC) sebagai trek basikal bukit dan joging.

Perkara tersebut dide­dahkan oleh Presiden Per­satuan Lawn Tennis Sarawak (SLTA) Dato Patrick Liew semasa temuramah dengan Utusan Borneo baru-baru ini.

“Lembaga Perancangan Negeri telah memberi ke­lulusan bagi membina trek basikal bukit dan joging ber­hampiran pentas KIRC dan ia dijangka siap bulan depan (Disember).

“Jika siap kelak, ia akan menjadi trek basikal bukit dan joging pertama dalam Malaysia dilengkapi dengan lampu di sepanjang laluan tanpa mencacatkan kawasan hutan.”

Menurut Liew, trek terse­but akan menarik minat seki­tar 300-500 orang peminat sukan basikal bukit dan joging beriadah sambil menikmati keindahan alam semula jadi di sekelilingnya.

“Projek ini adalah satu lagi komitmen kerajaan neg­eri dalam mempromosikan budaya sihat di kalangan masyarakat khususnya para remaja.

“Selain itu, ia juga mening­katkan pertumbuhan pernia­gaan khususnya dalam pen­jualan barangan basikal sekali gus membantu merancakkan ekonomi negeri,” jelasnya dengan yakin.

Liew turut memberi khabar gembira kepada peminat-peminat sukan papan luncur di mana kerajaan negeri akan membina sebuah tapak ba­haru berhampiran KIRC tidak lama lagi.

“Sukan papan luncur sudah lama mendapat tempat di ka­langan remaja di sini namun mereka tidak mempunyai ka­wasan tetap untuk meluncur. Biasanya, mereka melepaskan gian di kompleks beli-belah, tempat parkir kereta atau kawasan-kawasan lengang di sekitar bandar raya.

“Meluncur di kawasan-ka­wasan tersebut tidak selamat dan ia boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam termasuk mereka sendiri.”

Justeru, Liew berpendapat dengan terbinanya tapak ba­haru tersebut, sukan papan luncur dapat diperkembang­kan di peringkat yang lebih tinggi.

Katanya lagi, tapak terse­but turut menjadi venue bagi pertandingan papan luncur di masa akan datang.

“Saya melihat potensi be­sar dalam sukan ini dan jika ia dibangunkan dengan lebih agresif, kita mungkin dapat melahirkan bintang ber­taraf profesional sedikit masa lagi.”

Ketika ini, KIRC mempu­nyai tiga gelanggang futsal, dua bola keranjang, dua bola tampar, tiga sepak takraw dan satu badminton. Kes­emua kemudahan tersebut boleh digunakan secara percuma.