Teliti sebelum terima pandangan tentang agama

0

HAJI BAHARU: Daud (lima kanan) merakamkan kenangan bersama 11 haji dari Sarawak di bawah program 1MDB atas jemputan PM yang selamat tiba di tanah air kelmarin.

Kenyataan Nurul Izzah boleh mengelirukan masyarakat Islam khususnya orang Melayu, kata Daud

KUCHING: Masyarakat Islam di negeri ini khususnya orang Melayu diingatkan supaya berhati-hati sebelum menerima pandangan orang lain terutama berkenaan dengan agama.

Perkara itu ditegaskan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman ekoran kenyataan yang dibuat oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar berkaitan kebebasan beragama di negara ini.

Beliau memberitahu, kenyataan yang dibuat oleh Nurul Izzah itu boleh mengelirukan masyarakat Islam khususnya orang Melayu sendiri.

Tambahnya, ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ dijadikan tema Maulidur Rasul pada tahun ini yang membawa maksud kesederhanaan dalam Islam tunjang perpaduan umatnya.

“Kalau kita lihat, kebebasan ini bermakna kita memberi peluang kepada masyarakat mengamalkan agama mereka dan kepercayaan mereka sendiri termasuk orang Melayu mengamalkan ajaran Islam, bukan bermakna orang Melayu mengamalkan agama lain, itu salah.

“Sebab itu, kalau kita lihat Perlembagaan, orang Melayu adalah orang Islam dan orang Islam adalah orang Melayu, manakala kalau mereka bukan Islam, mereka bukan orang Melayu, ini Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut 11 jemaah haji dari Sarawak di bawah program haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Tun Razak di kediamannya di sini, kelmarin.

Baru-baru ini, sebuah portal berita memetik Nurul Izzah sebagai berkata bahawa setiap rakyat di negara ini termasuk orang Melayu tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama-agama tertentu.

Justeru, Daud menjelaskan kebebasan beragama bukan bererti memberi peluang kepada orang Melayu atau orang Islam untuk mengamal agama lain.

“Itu tidak pernah kita buat… dan saya percaya masyarakat Islam dan orang Melayu tidak akan menerima pandangan orang seperti ini yang boleh memecah belah perpaduan orang kita.

“Kita percaya, kebebasan kita tidak memaksa orang bangsa lain memilih Islam, ini yang jelas, tapi bagi kita masyarakat Islam, kita nak diperkuatkan kita tidak mahu masyarakat Islam ini lari dari agama Islam,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Nurul Izzah itu bercanggah dari segi Perlembagaan Malaysia yang telah dibuat lebih 50 tahun dahulu.

“Jika kita bukan Muslim kita bukan Melayu, tetapi non Melayu (kaum lain) boleh menjadi Muslim kerana kita ada non India, non Iban, non Cina dan sebagainya yang beragama Islam,” ujarnya.