TM dan Hotel ParkCity meterai perjanjian Internet kelajuan tinggi

0

TERMETERAI: Abdul Rahim (dua kanan) dan John menandatangani surat perjanjian perkhidmatan TM DOME disaksikan Mok (kiri) dan Roslawati di Bintulu semalam.

BINTULU: Telekom Malaysia Berhad (TM) Sarawak telah menandatangani perjanjian perkhidmatan dengan Hotel ParkCity Bintulu dan Miri bagi perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi mencecah 1 Gbps di sini semalam.

Hotel ParkCity Everly diwakili oleh Pengurus Besar di kedua-dua cawangan iaitu John Augustin (Bintulu) dan Mok Pin Chuan (Miri) manakala TM Sarawak pula diwakili Pengurus Besarnya, Abdul Rahim Mohd Ali dan pembantunya, Roslawati Mohd Tahir.

Abdul Rahim melahirkan rasa bangga serta berterima kasih kepada Hotel ParkCity Everly atas keyakinan kepada TM bagi membekalkan perhidmatan Internet ‘Direct Over Metro E’ (DOME) yang berkapasiti 12 Mbps.

Katanya, pakej perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi itu akan memberikan keselesaan kepada setiap pengunjung yang menginap di hotel berkenaan dan boleh dinikmati secara percuma tanpa dikenakan caj tertentu.

“Melalui perjanjian perkhidmatan selama lima tahun ini, membolehkan pihak pengurusan hotel menambahkan tahap perkhidmatan hotel terutama Internet, merupakan antara satu keperluan utama pelanggan hotel sama ada untuk berhubung, urusan perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Menurut Abdul Rahim, Hotel ParkCity Bintulu merupakan hotel pertama dan seumpamanya menggunakan perkhidmatan Internet DOME secara tidak langsung memberi ruang kepada hotel-hotel lain di sini agar menukar sistem ‘streamyx’ yang mengguna pakai ADSL kepada perkhidmatan DOME yang lebih canggih berkelajuan tinggi.

Beliau menjelaskan bahawa pakej DOME ditawarkan TM mampu memperbaiki kelajuan Internet pakej biasa kepada lebih laju serta mampu memuat turun apa sahaja maklumat yang berkapisiti besar dengan cepat.

Justeru, Abdul Rahim yakin ia terbukti mampu meningkatkan lagi tahap pengurusan serta perkhidmatan hotel secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar lebih banyak hotel di negeri ini memohon agar mengguna pakej DOME itu yang ternyata mampu membantu memperbaiki mutu perkhidmatan hotel serta kepuasan para pengunjung.