Belia paling ramai hadapi masalah kemurungan

0

KUCHING: Masalah kemurungan diramalkan berada di tempat kedua teratas selepas penyakit jantung menjelang tahun 2020, menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing berkata, menerusi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 menunjukkan golongan belia berusia 16 hingga 24 tahun mancatatkan peratusan masalah kemurungan tertinggi di negara ini diikuti golongan warga emas berumur 65 tahun ke atas.

Chin yang mewakili Pengarah Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan berkata, antara faktor penyebab masalah kemurungan golongan muda ialah pengaruh Internet dan teknologi komunikasi di mana mereka kurang meluangkan masa berinteraksi serta membina sokongan sosial.

“Kesibukan ibu bapa bekerja sehingga memandang kecil peranan, dorongan dan sokongan keluarga terhadap anak-anak juga adalah faktor ke arah menyumbang masalah kemurungan golongan remaja,” ujarnya dalam ucapan perasmian Hari Terbuka dan Jualan Amal Hospital Sentosa Kuching pagi semalam.

Sementara itu, Pengarah Hospital Sentosa Dr Lau Kim Kah menjelaskan Hari Terbuka merupakan satu cara mengurangkan tanggapan masyarakat serta komuniti yang kurang tepat terhadap individu yang mengalami masalah mental, selari dengan tema sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia ke-20 iaitu ‘Kemurungan: Krisis Sejagat.

’ Tambah beliau, walaupun diskriminasi terhadap penyakit mental masih lagi wujud, terdapat perubahan positif di mana orang ramai mula menerima Hospital Sentosa dan sanggup datang untuk menerima rawatan selain kunjungan daripada sekolah-sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO) serta menjadi penempatan latihan untuk institusi latihan kemahiran dan kolej swasta.

“Sekurang-kurangnya empat peratus daripada jumlah penduduk negeri ini menghidapi masalah kemurungan dan golongan umur yang mengalami gejala ini adalah semakin muda iaitu 40 tahun ke bawah berkemungkinan disebabkan oleh tekanan hidup,” jawab beliau sewaktu ditemu ramah.

Sementara itu, pengerusi penganjur Catherine Baun Dudong berkata Hari Terbuka diadakan bertujuan untuk mengumpul dana bagi menampung pembiayaan aktiviti rehabilitasi pesakit di hospital tersebut dan berharap kutipan akan mencapai sasaran RM50,000.

Selain gerai makanan, pameran serta khidmat nasihat dan pemeriksaan kesihatan adalah antara 33 buah gerai yang disediakan kepada pengunjung dalam acara yang diadakan sekali dalam dua tahun.