Harryson, Nurudin sertai Malaysia

0

SELAMAT MAJU JAYA: Paruwadi (kiri) menunjukkan surat tawaran kepada Nurudin (dua kanan) dan Harryson (dua kiri) sambil disaksikan oleh Tedong di Kota Samarahan, semalam. — Gambar Harry Ilias

KOTA SAMARAHAN: Pemain apit kanan Sarawak, Harryson Linggong, 19, dan ketua jurulatih Sarawak, Nurudin Pawi, 42, dipilih menyertai skuad sepak takraw kebangsaan pada musim depan.

Harryson, berasal dari Simunjan telah membuktikan kehebatan bersama pasukan Sarawak pada kejohanan sepak takraw kebangsaan Piala Emas Khir Johari di sini tahun lalu dan penampilan terbaiknya bersama skuad Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak.

Nurudin (Pawi) melakar sejarah tersendiri apabila dilantik sebagai jurulatih pasukan sepak takraw negara (Malaysia B) berkuatkuasa bulan depan dan merupakan jurulatih Sarawak pertama membimbing skuad sepak takraw negara.

“Kami (Persatuan Sepak Takraw Sarawak) amat berbangga dan gembira dengan penyenaraian pemain dan jurulatih Sarawak dalam skuad kebangsaan,” kata Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Datuk Paruwadi Musa pada sidang media, di sini semalam.

Pada sidang media itu, Paruwadi turut menyampaikan surat tawaran daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kepada pemain dan jurulatih terbabit.

Hadir sama Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Samarahan (PSTBS) yang juga pengurus pasukan sepak takraw Sarawak, Tedong Bugak.

Menurut Paruwadi, penyenaraian kedua-dua ‘anak jati Sarawak’ dalam skuad sepak takraw kebangsaan bakal menyuntikkan semangat baharu kepada pemain-pemain dan jurulatih sepak takraw negeri ini.

Nurudin mula menjadi jurulatih sepak takraw Sarawak ketika diberi kepercayaan membimbing pasukan sepak takraw Sukma Sarawak sejak 2006.

Beliau turut melatih pasukan negeri yang terlibat dalam kejohanan kebangsaan seperti Piala Emas Khir Johari di sini tahun dan beberapa kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan yang lain.

“Kita berharap dengan pemilihan pemain dan jurulatih Sarawak dalam skuad negara mampu meningkatkan mutu sukan sepak takraw negara ini di peringkat antarabangsa,” katanya.

Paruwadi yang juga Naib Presiden PSM berkata perlantikan tersebut merupakan penghormatan tertinggi badan induk sepak takraw Malaysia terhadap Sarawak.

“PSM melihat potensi besar pada jurulatih dan pemain kita. Justeru, saya berharap perlantikan ini akan memberi inspirasi kepada jurulatih-jurulatih dan pemain-pemain lain meningkatkan usaha agar dapat turut sama mewakili Malaysia pada satu hari nanti,” ujarnya.

Sementara Nurudin berkata, beliau berasa amat terharu apabia diberi penghormatan untuk melatih pasukan kebangsaan bagi menghadapi pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa.

Nurudin yang merupakan kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata ini merupakan pencapaian tertinggi beliau dan berjanji akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PSM dan PSS kerana memberi kepercayaan untuk membimbing pasukan kebangsaan,” katanya.

Harryson, anak kelahiran Kampung Ruan Lama, Simunjan itu diberi peluang menyarung jersi kebangsaan hingga 2014.

“Saya akan menggunakan peluang itu sebaik-baiknya untuk mengharumkan nama Sarawak dan memartabatkan sukan sepak takraw negara,” katanya.

Harryson percaya ini merupakan peluang terbaik baginya menimba pengalaman bermain di peringkat yang lebih kompetitif dan mencabar kewibawaannya.