Kerjaya pelaut relevan dengan kepesatan SCORE

0

SIBU: Kerjaya sebagai pelaut adalah sangat relevan dengan kepesatan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang melanda negeri ini.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie berkata kewujudan SCORE mampu menjanjikan serta menjamin masa depan dalam membuka banyak peluang pekerjaan yang berkaitan dengan industri perkapalan.

“Negara kita adalah sebuah negara maritim kerana dari segi geografinya negara kita dikelilingi laut. Oleh itu, industri perkapalan khasnya kerjaya pelaut sangat relevan ketika negeri ini maju dalam SCORE.

“Justeru, kerajaan menggalakkan para belia menerokai bidang maritim atau pelaut kerana kita mahu tenaga tempatan digunakan sepenuhnya dalam sektor perkapalan negara,” katanya pada Majlis Konvokesyen Kedua dan Tamat Kursus Pelatih Marin Pelita Maslaut Sdn Bhd (PMSB) di Dewan Suarah Sibu, semalam.

Abu Seman mewakili Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) merangkap Menteri Muda Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh.

Hadir sama Pengarah Urusan PMSB Masni Amit, Pengarah Yayasan Sarawak Mohammad Abu Bakar Marzuki serta Timbalannya Abdullah Abdul Ghapur dan Pengurus Besar PMSB Mohd Nazim Masni.

Seramai 82 orang Kadet Marin Rating dan 21 Pegawai Watch Keeping Officer (WKO)/Pegawai Watch Keeping Engineering (WKE) masing-masing menerima sijil tamat kursus pada majlis itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu berkata para belia harus bersedia menyahut cabaran kerajaan untuk bergiat dalam bidang maritim sekali gus semua tenaga pelaut di negara ini kelak adalah tenaga kerja tempatan.

Katanya persepsi masyarakat memandang rendah kerjaya sebagai pelaut ini harus dikikis kerana bidang pelaut pada ketika ini memerlukan beberapa pendidikan serta ilmu yang harus dipelajari atau dikuasai.

“Masyarakat kita dahulu sering menganggap kerja ‘sailor’ (pelaut) ini sebagai kerja yang berat di atas kapal seperti mengikat tali, menjaga enjin, angkat barang serta menganggap pelaut ini sebagai kerja ‘kuli’ atau buruh.

“Tetapi pada zaman sekarang kerjaya sebagai pelaut merupakan satu pekerjaan yang setaraf dengan bidang-bidang lain, selain memerlukan seseorang itu mempelajari ilmu maritim selama beberapa bulan bagi memberi pendedahan,” jelasnya.

Abu Seman menambah dunia yang semakin canggih ketika ini memerlukan tenaga mahir dalam sesuatu bidang terutama kalangan belia yang menjadi tonggak masa depan negara.

“Dalam kursus maritim pada zaman sekarang, seseorang pelatih akan mempelajari berkaitan marin, dek, keselamatan, kejuruteraan, enjin dan sebagainya.

“Ini menunjukkan bidang pelaut tidak seperti zaman dahulu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa para belia agar menceburi bidang pelaut kerana bidang tersebut turut memainkan peranan yang amat penting kepada negara.

“Bidang pelaut juga berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara seperti mana bidang-bidang lain.

“Jangan pandang pelaut dengan sebelah mata tetapi apa yang penting bidang ini membolehkan seseorang pelaut ‘pergi’ lebih jauh dalam menimba ilmu dalam dunia perlautan,” katanya.