Pendidikan rakyat luar bandar dipertingkat: Dr Rayong

0

ENGKILILI: Gelombang pembangunan yang pesat membangun di negeri ini bukan sahaja turut dinikmati oleh rakyat di bandar malah menular ke luar bandar terutamanya di kawasan hulu sungai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata inilah kebaikan dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa meminggirkan penduduk sekali pun tinggal jauh di kawasan luar bandar walaupun disedari amat sukar untuk melaksanakan pembangunan di kawasan tersebut.

“Bagi memastikan dasar dan pengagihan yang sama rata serta kesungguhan pemimpin-pemimpin BN melaksanakannya maka kita semua harus sentiasa memberi sokongan padu kepada BN terutama pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya pada Majlis Merarau Sekolah Kebangsaan Basi, Engkilili, baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Dr Rayong berkata, kerajaan juga tidak mengabaikan aspek pembangunan pendidikan di negeri ini terutamanya luar bandar demi mewujud taraf pendidikan yang sama rata bagi semua rakyat.

Beliau berkata, kerajaan amat mengambil berat tentang tahap kemajuan pendidikan di luar bandar memandangkan penduduk luar bandar lebih sukar untuk mengecapi kemudahan pendidikan berbanding mereka yang menetap di bandar.

“Jadi kerajaan sentiasa prihatin terhadap perkembangan mereka yang tinggal di luar bandar,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Rayong berharap ibu bapa sedar akan peranan mereka untuk meluangkan masa bersama anak-anak di rumah.

“Ini amat penting supaya tahap kecemerlangan anak-anak bukan hanya terletak di bahu pihak sekolah sekali gus memastikan kecemerlangan pendidikan mereka dipertingkatkan.

“Justeru, ibu bapa harus menjalinkan hubungan kerjasama erat dengan guru-guru demi mempertingkat taraf kecemerlangan akademik anak-anak,” tekannya lagi.