Site Last Updated 3:24 pm, Thursday

21 kenderaan, 65 peserta berkonvoi jelajah Borneo

Posted on November 15, 2012, Thursday

JELAJAH BORNEO: Peserta Konvoi Ekspedisi Borneo 2012 membuat persiapan terakhir sebelum berlepas ke Kuching, semalam.

SIBU: Jarak perjalanan melebihi 1,000 kilometer, benar-benar memberi cabaran kepada peserta Konvoi Ekspedisi Menjelajah Borneo 2012 yang mengelilingi Kepulauan Borneo bermula dari Tawau, Sabah.

Bermula 11 November lepas dan dijadual berakhir 30 November ini, konvoi ini yang melalui Sabah, Brunei, Sarawak dan Kalimantan Indonesia dianjur oleh Kelab 4X4 Ekspedisi Ekstrem Tawau Sabah.

Menurut Presidennya Jeffry Onn Hamzah, konvoi menggunakan 21 kenderaan dan disertai 65 peserta, termasuk lapan peserta yang juga kru syarikat penerbitan Warna Motion Picture.

“Kami telah bermula pada 11 November lepas di Tawau dan telah tiba di sini petang kelmarin,” ujarnya kepada pemberita sebelum berlepas ke Kuching semalam.

Dari Tawau, Sabah katanya konvoi melalui bandar-bandar utama di Sabah, sebelum memasuki Brunei Darussalam seterusnya ke Miri dan Sibu di Sarawak.

Dari Kuching, peserta akan menuju ke Pontianak, Kalimantan Barat pada 16 November sebelum tiba di Palangkaraya, Kalimantan Tengah.

“Ini diikuti Banjarmasin, Balikpapan, Samarinda dan Tanjung Selor, sebelum balik ke Tawau, Sabah melalui Malinau,” jelas Jeffry.

Beliau percaya ini merupakan kali pertama konvoi menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang mengelilingi Kepulauan Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia.

“Tujuan konvoi ini bagi menggalakkan sukan kenderaan pacuan empat roda, selain sebagai jambatan penghubung antara negara Malaysia dengan Brunei dan Indonesia.

Menurut Jeffry, penjelajahan mereka itu turut dirakamkan oleh kru Warna Motion Picture yang akan menerbitkan rancangan terbabit dalam 13 episod.

Rancangan difahamkan akan disiarkan pada bulan April tahun depan di RTM iaitu TV1 dan Astro saluran 108.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.