DUN Samariang bersedia hadapi kemungkinan banjir

0

KUCHING: Biro Kebajikan dan Unit Jawatankuasa Pengurusan Bencana Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negerinya Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, malah pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama residen dan pihak pegawai daerah bagi membincangkan perkara itu.

“Kami memang bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir dan setiap tahun unit menangani masalah banjir di kawasan kami.

“Kami ada unit jawatankuasa pengurusan bencana dan Biro Kebajikan DUN Samariang yang sentiasa bersedia dan memantau keadaan, bagaimanapun setakat ini kami bersyukur belum ada kejadian yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Kolej Komuniti 2012 di sini, semalam.

Hasidah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan di kawasan Samariang bagi menghadapi kemungkinan banjir dengan dijangka berlakunya air pasang yang besar pada 16 hingga 18 November ini.

Di Samariang antara kawasan yang berpotensi kawasan kritikal apabila berlakunya banjir ialah di Kampung Semariang Batu yang mana pada tahun lepas kira-kira 300 keluarga terjejas akibat banjir terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.

Hasidah dalam pada itu menegaskan bagaimanapun pihaknya akan berusaha menangani segala persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Bagi menangani banjir Biro Kebajikan dan unit jawatankuasa kami akan sentiasa memantau keadaan,” katanya.