Jangan bimbang, cuma berhati-hati

0

SMS waspada samun guna pisau hanya khabar angin, kata Jauteh

KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan tidak mempercayai kejadian samun oleh individu bermotosikal dengan menggunakan taktik menyembunyikan pisau di balik kad nama yang disebar secara meluas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) baru-baru ini.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata SMS berkenaan hanya adalah khabar angin dan menggesa agar orang ramai khususnya di ibu negeri tidak perlu bimbang atas perkhabaran itu.

“Polis tidak menerima sebarang laporan dan insiden mengenainya dan kita juga tidak tahu bahawa SMS itu bermula daripada siapa namun kita mengesahkan setakat ini ianya adalah khabar angin,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Bagaimanapun, Jauteh menyarankan kepada para penunggang motosikal untuk berhati-hati dengan keadaan sekeliling agar mengelak daripada kejadian tidak diingini berikutan penyebaran SMS berkenaan.

Terdahulu, isi kandungan SMS terbabit memberi amaran kepada pengguna kenderaan agar berwaspada untuk menurunkan cermin kereta sekiranya didatangi oleh individu tidak dikenali yang menggunakan taktik menyamun dengan berpura-pura bertanyakan jalan kepada mangsa.

Menurut kandungan SMS itu lagi, individu itu kemudiannya mengeluarkan pisau yang disembunyikan di sebalik kad nama lalu menyerang dan menyamun barangan mangsa.

SMS itu turut mendakwa enam kes telah dilaporkan di balai polis.