Kanak-kanak hilang ditemui mati

2

Hadziq Hassan

SANDAKAN: Budak lelaki berusia dua tahun yang dilaporkan hilang ditemui mati di dalam sebuah ladang yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang pada Sabtu lepas.

Mayat Hadziq Hassan, 2, ditemui telah meninggal dunia di kawasan ladang berkenaan oleh juruukur swasta yang pada ketika itu sedang melakukan tugas mengukur tanah di kawasan berkenaan kira-kira jam 4 petang, Rabu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong berkata pengecaman mayat yang ditemui juga telah dibuat oleh keluarga kanak-kanak berkenaan dan mereka mengesahkan kanak-kanak itu adalah Hadziq.

“Mayat kanak-kanak berkenaan juga telah dihantar ke Hospital Duchess of Kent, di sini untuk bedah siasat,” katanya.

Pada 10 November lepas, Hadziq dilaporkan hilang di Batu 25, Kampung Garinono, di sini, antara jam 11 pagi hingga 12 tengahari setelah dia dan keluarga keluar dari rumah mereka di Batu 12, Kenangan Manis, untuk menghadiri kenduri keluarga di kampung berkenaan.