Mukah kurang sijil halal

0

TANDA INGATAN: Putit (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Daud (dua kanan). Turut kelihatan Saudi (kanan) dan yang lain.

Syarikat, firma dan pemilik restoran makanan di bahagian berkenaan harus membuat permohonan sijil halal: Daud

MUKAH: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman menyeru syarikat, firma dan pemilik restoran makanan di bahagian Mukah membuat permohonan sijil halal.

Menurut Daud, permohonan sijil halal di bahagian Mukah setakat ini masih terlalu kurang dan perkara tersebut perlu diambil perhatian agar perkara tersebut tidak melarat dan berterusan.

“Daripada enam daerah dalam bahagian Mukah setakat ini, hanya enam syarikat sahaja yang telah memiliki sijil halal termasuk di Tanjung Manis dua iaitu tempat proses ikan dan kedai roti, di Mukah ada empat iaitu Kingwood Resort and Hotel, kilang pemprosesan tebaloi dan kedai roti.

Dan ada empat buah lagi masih dalam proses kelulusan sijil.

“Jumlah tersebut terlalu sedikit kalau kita lihat di Mukah terdapat banyak kedai makan dan mereka ini sepatutnya memohon untuk mendapatkan sijil halal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program 1 Logo Halal Malaysia 2012 anjuran bersama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sarawak di Bilik Persidangan Tingkat 1, Menara Pehin Setiaraja Mukah, semalam.

Justeru, Daud berharap selepas mendengar penerangan tentang sijil halal, ramai penduduk di kawasan tersebut akan berbuat demikian.

“Ramai yang berpendapat bahawa untuk mendapat sijil halal adalah sukar, tetapi pada hakikatnya ia bukannya sukar seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak.

Hanya kita harus mematuhi syarat-syarat sahaja dan memang syarat-syarat itu mesti dipatuhi.

“Jadi ini suatu perkara yang menyedihkan terutama syarikat- syarikat yang dikuasai oleh orang Islam.

“Orang Islam masih kurang memohon sijil halal dengan pandangan yang salah iaitu mereka berkata bahawa bila dikendalikan oleh orang Islam secara automatik keluaran adalah halal.

“Selain itu, standard halal kita di Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa, jadi kalau negara luar mengiktiraf sijil kita kenapa kita rakyat Malaysia tidak sama-sama patuh,” ujarnya.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen, Mufti Kerajaan Negeri Sarawak Kipli Yasin, Residen Bahagian Mukah Saudi Narani, wakil Pengarah JAKIM Cawangan Sarawak Ismail Alias, Pemangku Pengarah JAIS Salleh Sulaiman dan Pegawai Daerah Mukah Mohamad Nawawi.