Selain menyihatkan badan, sukan turut erat perpaduan, silaturahim

0

KENANGAN: Shairena (duduk tengah) bergambar bersama para pemenang larian selepas majlis penyampaian hadiah program berkenaan baru-baru ini.

SRI AMAN: Sukan bukan sahaja menyihatkan badan, malah ia dilihat mampu mengeratkan perpaduan dan silaturahim antara satu sama lain.

Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh berkata, penglibatan ahli masyarakat dalam pelbagai jenis sukan amat penting dalam merapatkan lagi perpaduan kaum.

“Penglibatan anggota masyarakat dalam sesuatu aktiviti sukan terbabit bukan hanya tertumpu kepada sesuatu kaum sahaja tetapi ia terbuka kepada semua kaum dan menerusi aktiviti sukan yang kita sertai mampu mempertingkatkan kesihatan diri masing- masing.

“Ini penting sekali kerana dengan penglibatan semua kaum dalam sesebuah aktiviti sukan maka hubungan silaturahim kita dapat terjalin dengan lebih erat lagi dan kita dapat mengetahui kelebihan diri masing-masing menerusi sukan yang kita sertai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup rasmi Program Larian Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK), Kampung Hilir, Bahagian Sri Aman di Padang Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Lama, Sri Aman dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, bola keranjang contohnya bukanlah sukan yang dikhaskan kepada masyarakat Cina sahaja tetapi ia terbuka kepada semua kaum dan kini bukan lelaki sahaja berminat dengan bola keranjang malah wanita sudah mula menunjukkan minat bermain bola keranjang.

“Ramai yang berpendapat penglibatan semua anggota masyarakat dalam bidang sukan hanya untuk suka-suka sahaja tetapi ramai atlet kita telah berjaya mengharumkan nama negara menerusi kejohanan sukan di peringkat negeri mahupun antarabangsa.

“Berdasarkan penglibatan lebih ramai anggota masyarakat dalam sukan, pihak kerajaan mempertingkatkan lagi kemudahan infrastruktur sukan bagi kemudahan para atlet negeri mempersiapkan diri mereka menyertai acara sukan yang lebih besar,” jelasnya.

Menyentuh aktiviti Larian PAKK yang dianjurkan ini, beliau mengharapkan aktiviti seperti ini dapat dijadikan acara tahunan selepas ini.

“Aktiviti seperti ini cukup baik untuk masyarakat kita agar masyarakat kita sentiasa mengamalkan cara hidup sihat selain menyertai aktiviti bersenam,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis penutupan program berkenaan, Pegawai Kebajikan Bahagian Sri Aman Shairena Jery’in, Pemanca Mas Shamsiah Maslem dan Penghulu Abdul Samad Abdul Rahim.

Dalam pada itu, lebih 300 masyarakat setempat di sekitar Sri Aman menyertai larian berkenaan dalam pelbagai kategori.