Waspada serangan buaya ketika banjir

0

Paras air sungai memungkinkan buaya naik ke darat, ancam keselamatan

Ahmad Lai

MIRI: Penduduk yang tinggal di tebing-tebing sungai dinasihati supaya berwaspada dengan kenaikan paras air sungai secara mendadak yang turut membawa risiko kepada serangan buaya.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata paras air sungai yang semakin naik memungkinkan buaya naik ke darat dan ia boleh mengancam keselamatan manusia.

“Kita bimbang jika berlaku lagi serangan buaya di kawasan tebing-tebing sungai lebih-lebih lagi paras air yang semakin meningkat akan memudahkan reptilia itu naik ke darat untuk mencari makanan,” katanya di sini semalam.

Beliau memberitahu, penduduk yang tinggal di tebing-tebing sungai dinasihati supaya berwaspada dan memantau sekeliling rumah mereka dibimbangi buaya berada di kawasan rumah mereka.

“Cuaca ketika ini tidak menentu berikutan musim tengkujuh bahkan paras air juga semakin meningkat berikutan pertembungan air pasang besar dan hujan lebat.

Ia boleh menjadi faktor untuk buaya naik ke darat sama ada untuk mencari makanan atau tersesat ke kawasan kediaman penduduk dan berisiko menyerang manusia jika ia panik,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, penduduk di kawasan terbabit dinasihati supaya mengawasi anak-anak dan ahli keluarga terutama pada sebelah petang kerana reptilia itu sangat aktif pada waktu terbabit.

Sementara itu, beliau turut menasihati ibu bapa yang berhasrat untuk membawa anak-anak mereka untuk berkelah semasa cuti sekolah ini supaya sentiasa mengawasi gerak-geri anak-anak mereka.

“Jika berkelah di kawasan air terjun atau pantai, anak-anak perlu ditemani oleh golongan dewasa kerana kita tidak mahu anak-anak mereka tersenarai menjadi mangsa lemas,” ujarnya.

Menurutnya, ibu bapa perlu sentiasa memantau dan melarang anak-anak mereka daripada bermain dengan air pasang besar kerana kemalangan boleh berlaku tanpa mengira masa dan tempat.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa tiada laporan banjir yang serius di kawasan Parlimen Sibuti sebaliknya yang berlaku fenomena air pasang biasa.