Masjid bahagian sediakan tuisyen

0

KUCHING: Setiap masjid bahagian di negeri ini mengguna pakai aspek pendidikan untuk melahirkan modal insan berjaya dari segi duniawi dan juga rohani.

Malah, konsep itu tidak terhad kepada orang Islam sahaja tetapi juga terbuka untuk masyarakat bukan Islam di negeri ini.

Perkara itu didedahkan Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang memberitahu, setiap masjid bahagian di Sarawak ada menyediakan kelas tuisyen terbuka kepada kanak-kanak berumur tujuh tahun hingga 17 tahun.

Beliau yang juga Menteri Perumahan berkata, antara subjeknya ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang mana kini kira-kira 600 pelajar mendapatkan tuisyen itu.

“Kita ada satu program di mana kita memberi tuisyen kepada anak-anak di masjid ini (Masjid Jamek, Kuching) termasuk masjid bahagian lain seperti di Bintulu, Sibu dan Miri.

“Penekanan adalah subjek BI selain daripada BM, Sains dan Matematik dengan tenaga pengajar yang mahir.

“Malah LAKMNS telah memutuskan supaya kegiatan tuisyen ini diperluaskan di kawasan lain di mana mereka mempunyai sumber untuk mengadakan tuisyen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Program Sambutan Maal Hijrah 1434H di pekarangan Masjid Jamek, Petra Jaya dekat sini semalam.

“Ini bukan untuk orang Islam sahaja tetapi juga orang bukan Islam kerana subjek berasaskan kurikulum kebangsaan,” tambahnya.

Jelasnya, program tuisyen itu telah dilaksanakan sejak lapan tahun lalu yang diuruskan oleh LAKMNS dan Baitulmal bermula di Masjid Jamek sebelum diperluaskan ke masjid bahagian lain di negeri ini.

Pada masa yang sama, Abang Johari memberitahu selain daripada kelas tuisyen itu, Masjid Jamek turut menyediakan kemudahan pendidikan di peringkat awal kanak-kanak.

“Di sini juga ada tadika untuk kanak-kanak berusia dari empat hingga enam tahun dan baru-baru ini kita telah membuka sebuah madrasah yang memberi peluang pendidikan berasaskan keagamaan dari Tahun Satu hingga Tahun Enam,” ujarnya lagi.