Dua bersaudara disembunyi penculik di luar negara?

0

KOTA KINABALU: Dua lelaki bersaudara yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata api berhampiran Felda Sahabat 15, Lahad Datu berkemungkinan disembunyikan di luar negara.

Pesuruhajaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata pihaknya tidak menafikan kemungkinan kedua-dua mangsa  yang merupakan pengusaha ladang kelapa sawit itu disembunyikan di satu lokasi rahsia di luar negeri ini.

“Hasil siasatan awal, kita mendapati kedua-dua mangsa telah dilarikan dan disembunyikan di luar negara,” katanya sambil menambah, pihaknya masih menanti siasatan lanjut mengenai kes itu.

Jelas beliau, buat masa ini, polis masih lagi mengesan lokasi sebenar kedua-dua mangsa atau markas mereka ditempatkan.

“Paling penting kita mahu pastikan keselamatan kedua-dua mangsa berada pada tahap terbaik,” tambahnya.

Akhbar tempatan kelmarin melaporkan dua sepupu hilang selepas dipercayai diculik sekumpulan lelaki bersenjata api ketika sedang meninjau operasi rumah burung walit milik keluarga mereka di Ladang Lian Hin Lee berhampiran Felda Sahabat 15, Lahad Datu.

Ketika kejadian, dua pemuda yang bekerja sebagai pengurus dan pembantu pengurus di ladang kelapa sawit juga  milik keluarga mereka dipaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer sebelum dibawa menaiki bot.

Lokasi terdekat dengan kawasan penculikan berkenaan ialah Pulau Sitangkai di selatan Filipina.

Mengulas lanjut, Hamza berkata pihak keluarga mangsa sehingga semalam masih belum menerima sebarang panggilan daripada penculik bagi menyatakan bentuk tebusan.

“Sehubungan itu, kita telah mengarahkan kesemua pasukan keselamatan di perairan ini termasuk negara jiran membantu mengesan penculik terbabit,” katanya.