Jalan sepanjang lima kilometer di Rumah Uncit dinaik taraf

0

ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa memberitahu bahawa kerajaan akan menaik taraf jalan sepanjang lima kilometer di kawasan Rumah Uncit, Geligau Hulu, Engkilili tahun depan.

Beliau berkata, pelaksanan jalan itu di bawah pelan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dan Infrastruktur Awam (PIA).

“Empat kilometer pertama merupakan jalan berbatu dan satu kilometer lagi jalan bersimen yang siap dibina di kawasan Rumah Uncit, Geligau Hulu dan juga Sekolah Kebangsaan (SK) Empelam, Engkilili.

“Pejabat daerah Lubok Antu bercadang akan menaik taraf jalan berbatu itu kepada jalan bersimen menerusi projek PIAS/PIA tahun depan demi keselesaan rakyat di situ,” katanya ketika merasmikan Projek Jalan SK Empelam/Geligau dan Penyampaian Sijil dan Hadiah di dewan SK Empelam, Engkilili, baru-baru ini.

Dr Rayong menjelaskan bahawa projek jalan berbatu dan bersimen di kawasan Geligau Hulu, Engkilili dilaksanakan menerusi projek khidmat komuniti syarikat Yong Wee Phong (YWP) Sendirian Berhad berjumlah RM400,000.

“Projek jalan berbatu dan bersimen sepanjang lima kilometer itu telah dibina oleh syarikat YWP hasil permintaan penduduk, ketua kaum dan wakil rakyat di kawasan Engkilili.

Pada majlis itu, Dr Rayong mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Empelam.

Turut hadir Guru Besar SK Empelam Hilary Bajau, Yang Dipertua PIBG SK Empelam Taruddin, Pengarah Urusan YWP, Yong Wee Pong dan ketua-ketua masyarakat.