Parlimen Santubong akan terus bantu pelajar ke IPT

0

KUCHING: Dana khas kepada pelajar di Parlimen Santubong yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) akan diberikan secara berterusan dan sistematik.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiada kawasan Parlimen lain yang mempunyai dana sedemikian untuk pelajar.

“Setiap Ahli Parlimen diberikan peruntukan untuk disalurkan kepada masyarakat, namun saya mempunyai sistem pengagihan lebih teratur dan sistematik.

“Tidak ada kawasan lain yang ada dana khas untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke universiti atau kolej,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Cek Kecemasan Ahli Parlimen Santubong Bagi Zon Kuching semalam.

Menurutnya, dana khas tersebut disediakan untuk membolehkan pelajar membeli buku atau yuran awal pengajian.

“Ada pelajar tidak mampu beli tiket kapal terbang, dengan adanya dana ini mereka boleh guna dana ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, rancangan untuk menganjurkan ekspo mencari pekerjaan dan meneroka pe-luang perniagaan sedang dalam proses penelitian.

“Perkara ini penting untuk diadakan agar masyarakat tahu untuk mencari pekerjaan atau jenis perniagaan yang boleh diterokai,” jelasnya.

Menurutnya lagi, satu perbincangan akan diadakan bersama pemimpin masyarakat untuk membolehkan ekspo tersebut diadakan dalam tempoh satu atau dua bulan akan datang.

Pada majlis tersebut Wan Junaidi menyampaikan Cek Kecemasan Ahli Parlimen Santubong Bagi Zon Ku-ching bernilai RM44,640 kepada 29 penerima.

Penerima tersebut menerima bantuan untuk rawatan dan perubatan bagi pesakit kronik, bantuan yuran pengajian ke universiti dan institusi pengajian tinggi, dana kepada badan bukan kerajaan (NGO) serta bantuan kerusi roda.